KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang peruntukan kerajaan tidak boleh diumumkan dalam tempoh pilihan raya.
Merujuk kepada pengumuman yang dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berhubung peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah pada Khamis lalu, Perdana Menteri berkata, ia dibuat sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
“Ia sebelum penamaan calon. Jika selepas itu, kita beri amaran, tidak boleh.
“Tidak boleh gunakan jentera atau peruntukan kerajaan selepas penamaan calon sehingga pilihan raya. Itu keputusan kerajaan,” lapor BH di Putrajaya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Isnin.
Sebelum ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) membidas tindakan Kor Ming mengumumkan peruntukan berkenaan, ketika DUN Ayer Kuning yang berada dalam Parlimen Tapah akan berdepan PRK.
BERSIH mendakwa, penggunaan kedudukan Menteri untuk menyalurkan projek dan dana kerajaan ke kawasan yang sedang berdepan pilihan raya adalah satu bentuk penggunaan sumber kerajaan secara tidak adil.
Penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning berlangsung pada Sabtu lalu, manakala hari mengundi pada 26 April ini.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan berkempen, termasuk larangan mengumumkan peruntukan kerajaan sepanjang PRK DUN Ayer Kuning.
Katanya, pematuhan langkah itu penting bagi memastikan suasana pilihan raya berlangsung dalam keadaan adil dan harmoni, sama ada di peringkat kerajaan atau pembangkang.