Oleh Zihan Zari
KOTA SAMARAHAN – Bekas Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anuar Abd Aziz telah dilantik sebagai Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia (1 Div), baharu ke – 31.
Menerusi kenyataan oleh Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Div memaklumkan, Khairul Anuar menggantikan Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis yang akan mengisi jawatan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama.
Majlis Serah Tugas Panglima 1 Div dan tongkat kuasa di antara Mohamed Fauzi dan Khairul Anuar telah disaksikan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat (PM TD), Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi di Padang Kawad, Kem Muara Tuang, dekat sini pada Jumaat.
Turut hadir, Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Dato’ Hj. Mohd Noorrul Ariffin; Panglima Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Mohd Saudi Hj. Omar; Panglima Briged Kesembilan Infantri, Brigedier Jeneral Dato’ Kamarulzaman Hj. Mohd Yunos, dan
Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, SAC Rizal Abdul Rahman Sidek.
“Mohamed Fauzi mula menyandang jawatan Panglima 1 Div bermula 27 Disember lepas dan akan bertukar ke Markas Angkatan Bersama menjawat jawatan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama.
“Khairul Anuar, 53, merupakan anak jati kelahiran Temerloh, Pahang, dilahirkan pada 26 Februari 1971, sebelum ini menyandang jawatan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama pada 30 Ogos hingga 21 Oktober lalu. ”kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, seramai 27 pegawai dan 501 anggota lain-lain pangkat telah menghadiri acara perbarisan sempena majlis ini, diketuai oleh Timbalan Komander Rejimen 511 Askar Wataniah (AW), Leftenan Kolonel Khairul Azri Abdullah.
Perbarisan diiringi oleh pancaragam gabungan Div 1 di bawah pimpinan Drum Mejar Pegawai Waran 2, Madzi Ibnu dari Rejimen Keempat Kor Amor Diraja (4 KAD).- SUARA.TV