Oleh: Zihan Zari
ALOR SETAR – 21, 868 ahli Umno Kuala Kedah yang bernaung di 164 cawangan dalam Parlimen Kuala Kedah digesa memahami arus perubahan yang berlaku, jika tidak akan terus lelah lantas rebah dan hilang arah.
Ketua Bahagiannya, Datuk Hj. Abdul Muthalib Harun berkata, realiti yang menjadi cabaran besar jika Umno berterusan kekal di takuk lama dalam ruang lingkup ‘syok sendiri’ sahaja.
“Perubahan adalah satu kemestian , banyak hal yang harus berubah, untuk menjadi lebih baik lagi. Lakukannya sekarang dan usaha bersama menggembeling tenaga, agar pengundi kembali meyakini Umno, dan harus bermula dari dalam bukan lagi menyalahkan pihak luaran.
Jika kesedaran ini tertanam di jiwa, insya – Allah, Umno dapat memenangi hati 132,500 pengundi dalam parlimen ini, ”katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah 2024 di Bangunan Tunku, di sini pada Sabtu lalu.
Yang turut hadir, Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Arifin Man dan Pengerusi Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.
Abdul Muthalib berkata, selama enam dekad Umno adalah kerajaan dominan yang telah membawa kemakmuran, kestabilan dan membina ketamadunan buat negara, kini realiti politik sudah jauh berbeda.
Cabaran getir membadai Umno kesan bangsa kita yang terbelah pecah, sikap
mengadu domba, komplot dan khianat .
Menurutnya, kesan daripada penyakit rajuk hati, terlalu ikut emosi, makan hati, dendam di hati dan sakit hati, lantas kekuatan dulunya kukuh kini longlai di penghujung sepi.
“Jika berterusan begini tidak mustahil Umno akan lupus dan terhapus kegemilanganya kelak.
“Kini, tiada upaya, selain mengikuti acuan politik baharu menerusi pembentukan kerajaan perpaduan (the formation of unity government) sepertimana yang sudah pun berlaku di banyak negara di dunia,” katanya.
Tambahnya lagi, Umno wajib menjadi organisasi dinamik, memenangi perang persepsi dan menzahirkan kualiti kepimpinan serta mandiri bukan lagi merengek minta dibelai itu dan ini.
Dalam masa yang sama Umno wajib mendidik rakyat agar memilih pemimpin dan parti berwibawa seperti UMNO yang boleh melonjakkan paradigma ke arah negara cemerlang.
“Prinsip pentingnya Umno perlu kenal diri, tahu kekuatan lawan, bersolidariti sesama ahli, cakna komuniti, di hadapan dalam memperjuangkan suara rakyat selain menyerang lawan bukan menembak kaki kawan.
“Ini sahaja formula praktikal yang harus konsisten dibuat bukan lagi sembang kari di bawah pokok ceri.
“Apalah makna berhabisan wang, memerah kudrat, memiliki struktur organisasi tersusun di dunia, melakar pelbagai program, namun apabila tiba pilihan raya calon lawan menang bergaya sekadar bermodalkan janji palsu bersulam langgang agama dan retorik bangsa,” katanya lagi.
Ujarnya, kita mesti boleh bekerja dengan bijak bukan sahaja bekerja keras dan tanpa kuasa kita hanya sekadar menjadi kupang tembaga dan disendatemehkan.
“Ingatlah perjuangan hari ini bukan untuk kita lagi, tapi buat bekalan dan survival untuk generasi akan datang.
“Umno Kuala Kedah akan terus melangkah, tidak akan berundur berpaling arah, bina semula berdiri gagah, insya -Allah, yang samar tentunya akan bertukar cerah.
Alhamdulillah, meskipun kekurangan sumber dan dana serta hilang kuasa yang semakin mengecil sokongannya namun sehingga kini sebanyak 390 program telah dilakarkan atas nama UMNO atau di luar kerangka parti,” ujarnya.
Menurutnya, dalam tempoh setahun tiga bulan, beliau telah diberi amanah dan menggalas tugas menerajui Umno di bahagian ini dan tidak menunggu lama serta terus istiqamah membantu melonjakkan perubahan untuk kembali berdiri gagah bertunjangkan dorongan semangat dari ahli Umno di semua cawangan.
“Sebanyak 2,190 sudah pun mendaftar sebagai ahli baharu untuk menyertai Umno melibatkan 65% daripadanya adalah daripada golongan muda.
“Ini menggambarkan Umno masih relevan biar pun ada tanggapan parti tidak bernyawa lagi,” katanya.
Dalam pada itu, mesyuarat perwakilan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid mewakili Setiausaha Agung Barisan Nasional, Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd.Kadir. – SUARA.TV