Peruntukan RM1 juta untuk Kompleks Pendidikan Al-Ummah bagi pembangunan – PM

- Advertisement -

IPOH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan RM1 juta kepada Kompleks Pendidikan Al-Ummah (KPU) di Chepor di sini bagi tujuan pembangunan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata beliau melihat tidak banyak pihak yang mempunyai kesungguhan mengambil inisiatif sendiri dalam mengumpulkan dana seperti dilakukan KPU yang berjaya mengutip hampir RM6 juta.

“Pendidikan masjid ini, tuntutan kepada semua, maknanya kalau satu masjid didirikan hanya daripada peruntukan daripada (pihak) atas, ini tidak memenuhi semangat dan roh bahawa ia menjadi hak masyarakat.

“Untuk sekarang ini sebelum saya dapat teliti lagi, saya luluskan RM1 juta dulu. Minta setiausaha kerajaan negeri bantu mengingatkan Unit Penyelerasan Jabatan Perdana Menteri supaya menyegerakan dan dalam tempoh satu ke dua minggu wang itu harus sampai,” katanya ketika berucap pada Lawatan Muhibbah dan Majlis Hi-Tea di KPU Chepor di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi KPU Mohd Nasir Kamaruddin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi peruntukan lain, ia harus dibincangkan dan diteliti untuk membolehkan pihaknya berunding dengan kerajaan negeri supaya projek berkenaan siap.

Pembinaan KPU fasa satu dimulakan pada 2016 dan setakat ini menelan kos kira-kira RM6 juta dan pembinaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM35 juta.

KPU dibangunkan untuk menangani masalah kepadatan kira-kira 2,200 orang terdiri daripada murid, guru dan staf sokongan bagi prasekolah, Sekolah Rendah Islam AI-Ummah (SERI) dan Madrasah Al-Hikmah (MADAH) setelah 36 tahun beroperasi.

Sementara itu, Anwar berkata hijrah adalah perubahan untuk melengkapkan konsep ummah, kenegaraan dan kemasyarakatan seperti yang ditonjolkan Nabi Muhammad SAW.

“Bangun kamu daripada kealpaan, ia bermula dengan diri kita, bersihkan daripada segi fizikal, keyakinan, kepercayaan dan tingkatkan akhlak serta nilai peribadi,” katanya.

Dalam majlis berasingan, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM72,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Kanthan Baru, Chemor ketika menghadiri majlis Pesta Makan Buah-Buahan di sekolah tersebut.

Anwar meluangkan masa kira-kira setengah jam pada majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu dengan hidangan buah-buahan tempatan antaranya durian, jagung, manggis dan limau bali. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat