KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin menzahirkan rasa bangga dengan kemampuan yang dimiliki rakyat Malaysia yang bekerja di negara luar.
Beliau malah berharap supaya mereka kelak membawa pulang kepakaran yang dimiliki ke tanah air bagi memberi sumbangan kepada kemajuan negara.
Mohamad berkata demikian ketika meluangkan masa bertemu dengan diaspora Malaysia semasa di Abu Dhabi.
“Semasa sesi interaksi bersama mereka, saya menitipkan hasrat kerajaan Malaysia mengenai keperluan untuk menerapkan sifat kebersamaan, kesepaduan serta nilai-nilai murni yang sejajar dengan konsep Malaysia Madani.
“Saya juga telah menzahirkan rasa bangga dengan kemampuan yang dimiliki rakyat Malaysia yang bekerja di negara luar dan berharap supaya mereka kelak membawa pulang kepakaran mereka ke tanah air bagi memberi sumbangan kepada kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Selain itu beliau turut berkongsi secara ringkas hasil Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Kerjasama (JCC) yang telah berlangsung dengan pihak Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Mohamad telah mempengerusikan secara bersama Mesyuarat JCC yang pertama antara Malaysia dan UAE dengan rakan sejawatan, Menteri Negara Bagi Hal Ehwal Luar Negeri UAE, Ahmed Ali Al Sayegh.
“Kedua-dua pihak komited untuk terus bekerjasama rapat, meneroka peluang kerjasama baharu dan meluaskan kerjasama sedia ada ke tahap yang lebih tinggi melalui mekanisme dua hala JCC.
“Mesyuarat JCC ini penting dalam usaha menjalin kerjasama lebih erat dengan UAE, sebuah negara yang mempunyai kestabilan ekonomi yang kukuh dan kuasa serantau (regional powerhouse).
“Ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia secara holistik selaras dengan Wawasan Ekonomi MADANI,” katanya.