KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan baru-baru ini menerima hantaran mesej yang mencadangkan supaya beliau berlutut dan mencium tangan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadi Perdana Menteri.
Dalam podcast Keluar Sekejap x Tiber yang dimuat naik malam tadi, Khairy ditanya soalan “benda paling gila ahli politik lain kata kepada kamu?”
“Baru-baru ini saya terima mesej, dia kata, “Chief, you berlutut dan cium tangan Zahid lah dan kamu akan jadi Perdana Menteri,” kongsi bekas Ketua Pemuda Umno itu.
Kemudian Shahril Hamdan bertanya kepada Khairy adakah kamu akan buat, namun Khairy hanya diam memandang Shahril.
Kata Khairy, “pause” itu bermaksud bahawa beliau jijik dengan soalan Shahril itu.
Untuk rekod, pada 27 Januari lalu hasrat Khairy untuk “membersihkan” Umno telah menyebabkan dia dipecat.
Pemecatan tersebut bukan kerana Khairy membantah jawatan Presiden Umno tidak dibuka untuk dipertandingkan, sebaliknya kerana ucapannya semasa kempen pilihan raya umum ke-15.
Secara khusus, dia memberi ucapan tentang menjadi reformis dalam Umno yang telah “sesat”.
Difahamkan ucapan terbabit disifatkan sebagai serangan terbuka terhadap Umno dan melanggar disiplin parti.
Dalam perkembangan lain, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril ditanya sekiranya beliau menjawat jawatan Perdana Menteri siapakah Timbalan Perdana Menteri yang menjadi pilihannya.
Shahril tanpa ragu menamakan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Selain itu, Shahril juga mencadangkan nama Rafizi Ramli sebagai Perdana Menteri masa depan.