KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan tarikh Hari Penamaan Calon (HPC) PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang pada hari Sabtu, 23 September 2023.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, bakal-bakal calon disarankan membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran.
“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon.
“Setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC,” katanya dalm satu kenyataan hari ini.
Tambahnya penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada HPC.
Ia katanya merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].
“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.
“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang / simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan / komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya,” katanya.
Selain itu jelasnya pada HPC, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan dari pukul 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul oleh pihak-pihak seperti berikut:
a. calon, pencadang dan penyokong; atau
b. mana-mana dua (2) orang daripada mereka; atau
c. mana-mana seorang daripada mereka.
3. Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang, sebelum HPC.
SPR juga menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ini bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar.