KUALA LUMPUR – Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pendakwaan jenayah didakwa meletakkan semua beban tanggungjawab itu kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Dalam podcast Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jawapan Anwar di Dewan Rakyat semalam dijelaskan melalui 11 alasan yang dikemukakan oleh Peguam Negara itu.
Menurut Khairy penjelasan Anwar itu memberi gambaran, penjelasan sudah dinyatakan, terserah kepada rakyat mahu percaya atau tidak.
“Serah kepada rakyat percaya ke tidak. DNAA Zahid dah isu politikal sama ada kamu nak percaya atau tidak.
“Perdana Menteri merujuk kes terdahulu (precedent) lagipun ini kes berprofil tinggi kerana melibatkan Timbalan Perdana Menteri.
“Rumusannya, serah kepada rakyat percaya atau tidak dan kedua segala-gala kontroversi berkaitan DNAA Zahid ini adalah seorang sahaja iaitu Tan Sri Idrus Harun dan selagi beliau tak kata apa-apa… kita tuding jari kepada Idrus beliau lah individu yang buat keputusan mohon DNAA kepada Zahid,” jelas Khairy yang menafsirkan penjelasan Anwar berkenaan DNAA Zahid.
Dalam pada itu, Khairy menyatakan beliau yakin umum tidak mengetahui cerita sebenar di sebalik keputusan Idrus memberikan DNAA kepada Presiden Umno itu sampai bila-bila.
“Saya tak rasa kita akan dapat perkiraan dalam otak Idrus, kita tak akan tahu selama-lamanya.
“Idrus tidak akan muncul pada masa depan untuk menjelaskan perkara itu, beliau pasti bersara daripada semua ini.
“Bahkan kalau dipanggil jawatankuasa khas Parlimen pasti Idrus akan beri jawapan penjawat awam “saya buat keputusan untuk tamatkan saya taknak dituduh gila talak”, ujar Khairy pada Rabu.
Sementara itu, Shahril Sufian pula berkata, pengakhiran kepada kes mahkamah Zahid sudah lama dijangkakan.
“Kita dah tau ending macam ni, kononnya keputusan Peguam Negara.
“Bukan jawapan tak benar, ini hal politik yang masing-masing kena fikir sendiri, pandai-pandai fikir.
“Macam 1MDB dulu apabila Peguam Negara ditukar itu adalah budi bicara Perdana Menteri dan katanya tak ada kena mengena dengan sebarang siasatan yang berlaku pada waktu itu jadi mungkin penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) pada waktu itu
kebetulan, budi bicara,” ujarnya.