KUALA LUMPUR: Bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengumumkan meninggalkan UMNO dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Jelas beliau, apa yang telah diperjuangkan selama menjadi Exco Pemuda Malaysia dan Ketua Pemuda Bahagian Lembah Pantai ‘No Anwar, No Dap’ hanya sia-sia, ditipu hidup-hidup dan seperti diperbodohkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO.
“Saya umumkan yang saya telahpun keluar daripada parti UMNO dan menyertai Perikatan Nasional bermula hari ini.
“Saya sertai PN kerana setelah PRU 15, apa yang telah diperjuangkan selama saya jadi Exco Pemuda dan KPB, dalam mesyuarat-mesyuarat penting selalu ditekankan iaitu No Anwar, No DAP, akhirnya sia-sia..
“Apa guna mesyuarat tiap-tiap bulan akhirnya ditipu hidup-hidup dan diperbodohkan.” katanya dalam kenyataan di Facebooknya sebentar tadi.
Terdahulu malam semalam, SuaraTV melaporkan Qobin bakal meninggalkan UMNO dan menyertai Perikatan Nasional.
Kata Qobin lagi, beliau lebih percaya kepada kekuatan Muafakat Nasional yang sewajarnya menerajui negara.
Tetapi apakan daya, segelintir pemimpin UMNO telah merosakkan segala usaha yang dibina, ujarnya.
Mengenai kemasukan beliau dalam PN, katanya, beliau memilih masuk PN hari ini selepas hari penamaan calon, agar rakyat tahu, bukanlah mengejar jawatan dan calon, sebaliknya ingin memperkukuhkan penyatuan bangsa Melayu.
“Kalau saya kejar jawatan, buat apa saya keluar UMNO? Kan UMNO bersama kerajaan kini? Lagi senang saya ikut je kerajaan.
“Jadi tak perlu nak menambah dosa fitnah-fitnah jahat cybertrooper dan orang yang tidak mengenali saya menuduh yang bukan-bukan. Susah nanti nak jumpa saya di akhirat.
“Lagipun saya hanya keluar parti dengan baik, bukan keluar Islam. Jadi saya pesan, jadilah orang yang memperjuangkan Islam dan orang Melayu yang beradap dan bermaruah.” Ujar Qobin.
Dalam pada itu beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai menasihatkan Kerajaan menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat.
“Sewajarnya tunaikanlah apa yang dulunya telah dijanjikan kepada pengundi dan rakyat. Tapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Saya minta kerajaan perlu kerja keras dan buktikan dengan jelas apa yang telah dilaksanakan. Yang baik saya sokong yang tidak betul saya perlu suarakan asalkan rakyat mendapat manfaat.
“Kos sara hidup meningkat, ekonomi merudum, ringgit jatuh teruk, minyak tak turun-turun, gaji tidak naik, elektrik naik, opr bank mencanak, harga barang tidak mampu dikawal, akhirnya rakyat jadi mangsa.” Katanya lagi.