KUALA LUMPUR – Wujud perbezaan ketara antara ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan bantuan kepada rakyat.
Zahid didakwa jelas menawarkan ‘sogokan’ dengan syarat ketika mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu malah berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Dalam podcast Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan mengupas perbandingan antara pengumuman Perdana Menteri menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada B40, M40 dan bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara dengan ucapan Zahid di Terengganu yang jelas berunsur sogokan kepada pengundi di Terengganu.
“Beza Perdana Menteri umum bantuan kepada penjawat awam, bantuan e-wallet RM100, beliau umum untuk semua bukan hanya mereka yang duduk di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Kedah atau Pulau Pinang dan itu kita boleh terima.
“Sama macam zaman Najib cash is king, dah normal,” dakwanya.
Tegas Khairy, di bawah Akta Pencegahan Rasuah, sogokan pada bila-bila waktu tidak dibenarkan dan ucapan Zahid jelas berbentuk sogokan.
“Saya tak ada keyakinan ia akan disiasat,” katanya sambil menambah beliau sedih menyaksikan penerimaan penyokong Pakatan Harapan (PH) terhadap amalan-amalan seumpama ini dengan alasan ‘multiverse’.
Sementara itu, ulas Shahril pula, ucapan Zahid itu menjurus kepada memancing undi.
“Ini pancing undi… ada beza kenyataan PM dan TPM ini kerana TPM khusus kepada belia Terengganu dan dia betul-betul akan ditambah peruntukkannya kalau syaratnya adalah undi PH-BN.
“… tak tahulah rasuah ke apa, kempen belum mula secara formal, belum penamaan calon.
“Beza kenyatan Zahid dengan PM ialah Anwar tak letak syarat, maknanya menang tak menang pilihan raya tetap dapat, yang lagi satu tu (Zahid) ada syarat. Benda ini tak betul,” tegurnya.
Susulan kenyataan Zahid itu, kesemua 19 calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding dalam pada Pilihan Raya Negeri (PRN), mempersoalkan tindakan Presiden Umno berkenaan yang didakwa menawarkan unsur ‘sogokan’ dalam ceramah politiknya di Terengganu, malam tadi.
Dalam ucapan itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, meluluskan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu, selain RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu.
Atas dasar itu, calon yang bertanding di 19 Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan mendesak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan segera terhadap tindakan terbabit dan MUDA juga telah membuat laporan polis.
Dalam perkembangan lain, Khairy memuji Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat dibentang Perdana Menteri kerana ia telah memaparkan visi ekonomi yang jelas dinantikan oleh rakyat.
“Perdana Menteri telah melukiskan gambar ataupun lukisan yang jelas, kita berada di mana, kekurangan pertumbuhan enjin yang baru, jurang yang besar antara pendapatan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi dalam Malaysia terjerumus dalam kitaran kemelesetan dengan gaji rendah dan kurang berdaya saing.
“Beliau bukan hanya datang dengan masalah tapi dengan penyelesaian- saya suka ini. Apa yang saya suka beliau telah menggariskan dua pergerakan besar dalam ekonomi kita, menaikkan siling dan menaikkan lantai.
“Siling ni dia nak Malaysia terbang jauh menjadi peneraju ekonomi serantau Asia, dunia , jadi destinasi pelaburan, menjadi industri berteraskan digital. Maksudnya beliau tak halang ekonomi berteraskan modal ini terbang tetapi pada masa yang sama
falsafah ekonomi Perdana Menteri jelas dia tak mahu siling itu terbang saja.
“Dalam orde ekonomi liberal siling saja terbang tapi lantai tak naik, lantai tetap di paras yang sama atau lagi teruk lantai itu jatuh. Syarikat kita jadi gergasi dunia, pelaburan besar datang ke Malaysia, tak guna kalau siling terbang kalau lantai tak naik maksudnya peningkatan hidup rakyat, ada kejelasan sekarang,” puji Khairy.
Dalam nada seloroh, Shahril menegaskan bahawa Khairy bukanlah pro Perikatan Nasional (PN) seperti didakwa.
“Kalau sesiapa rasa KJ pro PN boleh ambil klip dua minit itu, bagaimana KJ telah menerangkan begitu jelas naratif ekonomi madani yang dilancarkan Perdana Menteri.
“Saya setuju, ini adalah dokumen, falsafah ekonomi dan hala tuju ekonomi yang paling tuntas selepas model ekonomi baru bawah Najib,” katanya.