17 pelakon cilik bintangi The Sound Of Music

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 17 daripada 400 pelakon cilik tempatan menghadiri sesi uji bakat teater muzikal The Sound Of Music dipilih memegang watak enam kanak-kanak dalam produksi antarabangsa, Broadway yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 27 Disember depan.

Bakat cilik yang datang dari seluruh pelosok tanah air dinilai pasukan kreatif Broadway yang terdiri daripada penggiat seni teater antarabangsa, Anthony C Daniel, James Gray dan Nate Patten.

Pada sesi uji bakat itu, mereka dikehendaki mempamerkan kebolehan masing-masing dalam lakonan, nyanyian dan tarian.

Menerusi sesi uji bakat, tiga juri profesional itu bersepakat memilih 17 calon paling layak berusia antara enam hingga 14 tahun bagi bergilir-gilir membawakan watak si comel Greti; abang, Friedrich dan Kurt serta kakak, Marta, Brigitta serta Louisa.

Mereka terpilih ialah Kimaya Peiris berusia 8 tahun; Olivia Yu Shuen Leong, 9; Nur Lily Armani Saiful Bahtira, 7; Allegra Ai Ping Hew, 9; Wan Emma Rose Wan Mohd Fyzaal, 9, dan Olivia Wood, 9.

Turut terpilih, Chloe Siaw, 14; Dorren Yip Zhi Ying, 11; Isabelle Ho, 12; Sean Lee Hong Jun, 12; Lafayette Victor, 11; Norman Ong Wen Zhe, 9; En Huan, 19; Natasha Tan, 13; Vern Faye Yeoh, 9; Izz Quedy Akhirudin, 13, dan Christian Duvan Garry Malo, 12.

Pengerusi Base Entertainment Asia, Datuk Jared Lim, berkata pementasan The Sound Of Music amat bermakna selepas lebih dua tahun pementasan teater muzikal antarabangsa tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia akibat penularan pandemik COVID-19.

“Sambutan menggalakkan menerusi pementasan teater The Phantom of the Opera pada 2019 menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi persinggahan wajib bagi siri jelajah teater muzikal.

“Kini, penjenamaan baharu produksi Broadway yang bertanggungjawab membawakan teater muzikal, The Sound Of Music bukan sahaja mementaskannya, malah, turut memberi peluang kepada pelakon cilik tempatan mengetengahkan bakat mereka dalam dalam pementasan antarabangsa.

“Ia sekali gus membawa Malaysia ke satu tahap lebih tinggi dan menjadi jambatan untuk bakat tempatan merebut peluang ke platform antarabangsa,” katanya kepada BH Online.

The Sound Of Music, teater adaptasi daripada filem muzikal terkenal pada 1965 mengisahkan Maria, pengasuh penyayang dan berjaya mengubah kehidupan Kapten Von Trapp dan anak-anaknya dengan memperkenalkan muzik ketika dalam penerbangan melintasi pergunungan Austria.

 

Barisan 17 pelakon cilik bersama James Gray (kiri), Anthony C Daniel (dua kiri) dan Jared (kanan).
Barisan 17 pelakon cilik bersama James Gray (kiri), Anthony C Daniel (dua kiri) dan Jared (kanan).

 

Ketika itu, dunia sekeliling mengalami ketegangan, sebelum tercetusnya Perang Dunia Ke-2.

The Sound Of Music, kisah cukup menyentuh perasaan tanpa mengira usia dan berjaya membuai penonton dengan lagu-lagu yang tidak dapat dilupakan sehingga hari ini.

Antara lagu-lagu popular dan sering dipersembahkan dalam setiap pementasan The Sound Of Music seperti My Favourite Things, Do-Re-Mi, Climb Ev’ry Mountain, Edelweiss, The Lonely Goatherd, Sixteen Going on Seventeen dan semestinya, The Sound of Music.

Persembahan muzikal ikonik ini pastinya mampu mewujudkan tarikan luar biasa tidak mengira tua mahupun muda.

Sebagai salah satu teater muzikal paling digemari di dunia, The Sound Of Music dihasilkan oleh produksi Broadway pada 1959 meraih pelbagai kemenangan, iaitu lima Tony Awards termasuk menggondol trofi Muzikal Terbaik yang menjadi kejayaan terbesar untuk Rodgers dan Hammerstein.

Sementara itu, versi filem yang dibintangi bintang veteran, Julie Andrews sebagai Maria memenangi lima Anugerah Oscar, termasuk Filem Terbaik dan menjadi antara filem popular sepanjang zaman dan mencatat kutipan tertinggi ketika itu.

Siri jelajah antarabangsa The Sound Of Music diarahkan penerima Tony Award sebanyak tiga kali yang juga veteran Broadway, Jack O’Brien, pereka tari, Danny Mefford dan pemantau muzik, Andy Einhorn.

Ia turut membabitkan pasukan kreatif, reka bentuk dan produksi Broadway seperti Matt Lenz, (siri jelajah); James Gray (koreografi); Douglas Schmidt (reka bentuk); Jane Greenwood (kostum); Natasha Katz (pencahayaan) dan Shannon Slaton (bunyi).

Sementara, Eric Cornell berperanan sebagai Pengarah Besar, manakala Simone Genatt dan Marc Routh sebagai Penerbit Eksekutif untuk Broadway International Group.

The Sound of Music dipersembahkan dengan susunan khas oleh Concord Theatricals dan NETWorks Presentations dengan muzik oleh Richard Rodgers, Oscar Hammerstein II (lirik), Howard Lindsay dan Russel Crouse (buku) serta dicadangkan oleh The Trapp Family Singers oleh Maria Augusta Trap.

Harga tiket bermula RM320 hingga RM630, manakala Cat A Box Seats (wajib membeli empat) pula berharga antara RM2,200 hingga RM2,320.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat