Kuala Lumpur: Penyanyi Hazama, 38, tidak segan menjaga tapak jualan perniagaannya bersama isteri juga pemuzik, Genervie Kam, 42, kerana baginya dia sudah terbiasa dengan situasi itu.
Bahkan, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi sendiri seronok dapat berpeluang beramah mesra dengan ramai orang apabila berbuat demikian.
“Sebenarnya itu perniagaan isteri tapi kalau ada masa terluang, saya memang akan turun bantu juga. Lagipun saya sendiri sudah biasa berniaga di bazar sejak sebelum bergelar artis pun.
“Bagus juga dapat berniaga di bazar kerana adalah pendapatan masuk apalagi tawaran seni agak kurang sewaktu Ramadan. Saya pun suka nak jumpa-jumpa orang supaya bolehlah kongsi pasal karier saya juga.
“Isteri juga yang sebenarnya beria-ria nak rasa pengalaman menjaga tapak jualan. Saya pun memang sangat menggalakkan kerana pengalaman itu menyeronokkan,” katanya.
Penyanyi lagu Ku Relakan Jiwa itu turut bersyukur perniagaan yang awalnya dijalankan dari rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mendapat sambutan.
“Macam sayang pula nak hentikan perniagaan itu kerana sambutannya agak baik. Memandangkan kita sudah beralih ke fasa endemik, bagus juga dapat jalankannya secara fizikal ke bazar pula.
“Memang tawaran kerja seni semakin murah sekarang, tapi dapat pendapatan sampingan begitu pun seronok juga,” katanya.
Menjalankan perniagaan laksa, biskut, kuih-muih dan lain-lain, Hazama ada menyimpan impian membuka restoran jika ada rezeki suatu hari nanti. Bagaimanapun, dia akur modal yang cukup juga penting.
“Impian itu ada tapi memandangkan ia perniagaan keluarga, modal pun kena keluar duit sendiri,” katanya yang berniaga di Gamuda Cove, Dengkil, sejak 14 April sehingga 27 April kelak.
Harian Metro