Filem rakaman dron anak Malaysia diiktiraf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih membanggakan pengarah muda, Mohd Zyrul Hafizi, 34, apabila filem Aquarium yang dihasilkan dengan 70 peratus rakaman menggunakan dron mengungguli kategori fiksyen pada Festival Dron BLUE2BLUE 2021 di Australia pada 10 April lalu.

Pada acara yang kali pertama dianjurkan itu, Aquarium yang berkonsepkan filem nilai komuniti, mencuri tumpuan juri pada festival bertaraf antarabangsa yang menggalak, mempromosi dan meraikan penggunaan dron dalam proses pembikinan filem sejak 2016.

Penggunaan teknologi dron secara tidak langsung menambahkan kreativiti dan warna sesebuah naskhah dan mengetengahkan bakat insan di belakang tabir, seperti ciri-ciri dilihat pada penghasilan filem Aquarium.

Teknik penggambaran menggunakan dron semakin popular dalam komuniti pembikin filem kerana ia menggabungkan kreativiti dan apresiasi seni dalam rakaman visual, landskap, teknik sinematografi dan penceritaan yang memberi nilai tambah kepada produk dihasilkan.

Tidak hairanlah, kejayaan filem Aquarium pada festival itu menjadi pemangkin semangat kepada Mohd Zyrul untuk terus berkarya dan menghasilkan naskhah berkualiti.

Biarpun kejayaan di pentas Festival Dron BLUE2BLUE 2021 tidaklah sebesar acara filem antarabangsa lain, namun, bagi anak muda ini, ia sungguh bermakna.

“Saya sering menghantar naskhah yang dihasilkan ke festival filem antarabangsa. Saya cukup menggemari arena ‘underground’.

 

Teknik penggambaran menggunakan dron dan pengkisahan dalam filem Aquarium menambat hati juri Festival Dron BLUE2BLUE 2021 untuk dipilih menjuarai kategori filem fiksyen pada acara itu. Foto Ihsan Mohd Zyrul Hafizi
Teknik penggambaran menggunakan dron dan pengkisahan dalam filem Aquarium menambat hati juri Festival Dron BLUE2BLUE 2021 untuk dipilih menjuarai kategori filem fiksyen pada acara itu. Foto Ihsan Mohd Zyrul Hafizi

 

“Pencapaian tertinggi sebelum ini adalah apabila filem pendek, Pujangga menjadi finalis pada Festival Filem Indie Toronto,” katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai penyertaannya pada Festival Dron BLUE2BLUE 2021, Mohd Zyrul berkata, semuanya bermulanya apabila seorang teman yang gemar ‘bermain’ dengan dron, mengajak mereka menghasilkan filem menggunakan peralatan digelar Unmanned Aerial Vehicle (UAV) itu.

“Hajat itu turut mendapat sokongan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Saleh yang menerima dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Jadi, daripada skrip yang dihasilkan Khalil, kami bekerjasama menerbitkan Aquarium yang memulakan penggambaran, akhir tahun lalu.

“Alhamdulillah, ini kali pertama saya menang pada festival filem antarabangsa. Sebelum ini, karya saya hanya layak untuk disenarai pendek… Saya terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang,” katanya.

Berkongsi mengenai filem Aquarium, Zyrul berkata, karya itu berkisar pengalaman dilalui seorang anak yatim piatu yang mempelajari nilai-nilai kehidupan.

“Amin kehilangan ibu bapa yang terbabit dalam kemalangan. Dia tinggal bersama datuk sehingga besar.

“Dari situ, kami memperlihatkan bagaimana Amin mempelajari nilai kehidupan daripada datuknya dan sebuah akuarium yang dimilikinya,” katanya.

Mohd Zyrul berkata, idea menghasilkan Aquarium diilhamkan daripada sebuah filem yang pernah menang pada Festival Filem Cannes.

“Saya tidak ingat judul filem berkenaan. Tetapi cara penghasilannya menggunakan dron memberi inspirasi kepada saya menghasilkan Aquarium.

“Jujurnya, impian saya adalah untuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang menang pada festival filem terbesar dunia iaitu Cannes, Perancis; Berlin, Jerman dan Venice, Itali.

“Belum ada rakyat Malaysia yang pernah memenangi anugerah utama pada tiga festival itu. Cuma pengarah, U-Wei yang pernah berjaya pada Festival Filem Cannes, namun, bukan dalam kategori utama.

“Saya mahu menang di Cannes dan seterusnya Anugerah Akademi (Oscar). Selepas kita menang di Cannes, barulah layak sertai Oscar,” katanya.

Mohd Zyrul adalah bekas pelajar jurusan kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang meminati dunia perfileman.

Sejak tamat pengajiannya, iaitu pada usia 24 tahun, dia sudah berjinak-jinak menghasilkan kira-kira 40 filem pendek dan mengarah drama antaranya Jalan Sesat Ke Syurga, Cinta Ternoktah, Kebun dan banyak lagi.

Ketika ini, Mohd Zyrul sedang mengarahkan sitkom terbitan RTM, Kami Budak Flat.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat