KUALA LUMPUR – Kerajaan memahami keresahan serta kebimbangan yang dihadapi oleh rakyat apabila angka kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata biarpun dalam keadaan yang sukar sedang dihadapi kini, kerajaan sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik demi rakyat dan negara.
Bagaimana pun jelasnya, Malaysia adalah antara negara yang terpantas dalam melaksanakan program vaksinasi vaksinasi dijalankan dengan teratur, cepat dan meliputi seluruh pelusuk negara di bawah pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Memang benar kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita malah sentiasa bergerak dan bertindak menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.
“Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi dengan mempercepatkan vaksinasi.
“Malaysia hari ini adalah antara negara yang terpantas dalam memberi vaksinasi kepada penduduknya”, katanya dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berharap agar penularan COVID-19 tidak berterusan menjadi pandemik dan beransur menjadi endemik, iaitu keadaan di mana virus mungkin terus wujud, namun wabak boleh dikawal melalui amalan norma baharu, sistem kesihatan awam yang baik serta pematuhan SOP yang ketat.
Sambil menyebut hashtag ‘Menang Bersama’, Muhyiddin meminta agar semua pihak bersama-sama berganding bahu dan tidak mencari kesalahan sesama sendiri
“Kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini. Tak usah lah kita berbalah dan menuding jari. Kerana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada yang hilang punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners terus terbeban dan hospital kita semakin tertekan.
“Marilah kita berganding bahu mencari berkat. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh. Hashtag ‘Menang Bersama’”, katanya.
Foto: BERNAMA