UMNO Guna Ilmu Perang China Untuk Hancurkan DAP, Kata Ketua Pemuda DAP

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Howard Lee Chuan How mendakwa pemimpin UMNO menggunakan sebahagian daripada ilmu strategi perang dari kitab kuno China bagi menghancurkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Menulis di blognya Howard Lee yang juga Adun Pasir Pinji dan bekas Exco kerajaan Perak turut mendakwa UMNO dan Bersatu sengaja menonjolkan pertelagahan untuk mengelirukan DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Sewaktu berada dalam kerajaan, saya sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri Perak telah saksikan dengan mata kepala saya sendiri kehebatan berpolitik para politikus bermanhaj UMNO yang mana ini termasuk ramai daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya, dipetik dari tulisan di blog beliau.

Howard Lee berkata, kitab perang kuno China “36 Strategi” merupakan sebuah koleksi ulasan tentang perihal ketenteraan dan peperangan dengan memetik babak-babak era Negeri-Negeri Yang Berperang sekitar 475 SM-221 SM serta zaman Tiga Kerajaan sekitar 220-280 Masihi.

“Untuk membuktikan kerakusan mereka dengan kuasa dan kedudukan, izinkan saya memetik bab pertama kitab ini yang berjudul “Strategi Memenangi Perang” bagi mendedahkan sikap, amalan dan konspirasi mereka.

“Menyeberang laut dengan penyembunyian niat daripada langit – Bagi tujuan melemahkan pertahanan musuh, anda bertindak secara tersembunyi dan rahsia (untuk menipu manusia mahupun tuhan) sambil hidup seperti biasa,” ujarnya, memetik salah satu strategi dalam kitab tersebut.

Katanya lagi, “walaupun UMNO dan Bersatu dilihat kononnya bertelagah, amalan politik mereka tidak berbeza. Matlamat menghalalkan cara. Malah, kitab kuno China boleh diputarbelitkan demi mencapai cita-cita kegilaan kuasa mereka”.

Ujar Howard Lee lagi, UMNO turut menggunakan strategi “Bunyikan gendang perang di timur, serang dari barat.”

Strategi itu kata Howard Lee bermaksud, “Elemen kejutan dalam sesuatu pertempuran amat bernilai. Berikan gambaran bahawa serangan datang dari tempat yang lain dengan tipu daya supaya musuh melencongkan tumpuan tenaga pertahanan ke satu hala.

“Ini membuka ruang dan celah kelemahan di bahagian ekor, dan serang yang benar akan dilancarkan dari belakang secara mengejut,” kata Howard Lee, merujuk kepada keputusan Biro Politik UMNO yang menyarankan parti itu menimbang semula sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengemukakan syarat baru serta perjanjian bertulis untuk meneruskan kerjasama tersebut.

“Dalam keadaan politik terkini, terdapat ura-ura bahawa elemen-elemen tertentu dalam UMNO bersedia berkerjasama dengan Pakatan Harapan termasuk DAP untuk menjatuhkan Muhyiddin.

“Kesemua ini mengundang semua pihak (pemimpin PH) untuk menempatkan meriam, membidik panah, mengacu senapang ke arah Muhyiddin dan Bersatu, dengan memberi gambaran bahawa pertempuran akan berlaku di sana.

“Dengan laungan ‘serang Muhyiddin’ dan ‘janji tumpor Muhyiddin’, ramai pihak yang beriya-iya asah parang sambil berarak ke arah medan perang yang ada di mana Muhyiddin bertapak,” katanya.

Akibatnya kata Howard Lee, semua telatah yang mengumpan PH untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO, akhirnya hanya merugikan dan menghakis kredibiliti dan reputasi PH serta mengelirukan penyokong serta akar umbi PH.

“Semua kemelut, kekeliruan dan keadaan raban teben (tidak keruan) ini pastinya ada tersimpan dan tertulis di dalam buku strategi perancangan UMNO, tetapi mereka akan pastikan semua musuh dan seteru mereka akan berada di kedudukan yang paling lemah dahulu sebelum mereka melepaskan hentakan membunuh terakhir,” katanya.

Untuk rekod, baru-baru ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui beliau telah dimaklumkan terdapat maklumat yang mengatakan ada di kalangan Ahli Parlimen UMNO yang cenderung menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau.

“Saya menghormati pendirian Ahli Parlimen berkenaan,” kata Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dilaporkan tetap berpegang teguh pada pendirian UMNO yang menolak sebarang kerjasama dengan DAP, Anwar dan Tun Dr Mahathir.

“Tiada sebarang pertemuan, (dakwaan bertemu Anwar) itu semua tidak benar. Ia sekadar spekulasi.

“Presiden (Ahmad Zahid) berpegang kepada keputusan MT parti (UMNO) bahawa tiada sebarang kerjasama dengan DAP, Anwar dan (Tun) Dr Mahathir Mohamad,” kata sumber dalaman UMNO.

Beberapa Ahli Parlimen UMNO turut membuat laporan polis menafikan penglibatan mereka apabila nama masing-masing dimasukkan tanpa kebenaran dalam senarai menyokong Presiden PKR itu.

Anwar menghadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negara minggu lalu, bagaimanapun beliau hanya mengemukakan jumlah sokongan tanpa menyerahkan bukti senarai Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengulas secara sinis dakwaan Ketua Pemuda DAP itu.

“Eh? Ketua Pemuda DAP ini pun hisap air Selangor tercemar ke?,” kata Najib ringkas di status Facebook beliau hari ini, yang dikepilkan bersama pautan berita berkaitan kenyataan Howard Lee. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat