Muhyiddin Pertimbang Bubar Parlimen Disember 2020

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan pembubaran Parlimen pada Disember 2020 sekiranya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan November ini gagal mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

Sumber yang rapat dengan pentadbiran Kerajaan memberitahu SuaraTV setakat ini tiada perancangan Perdana Menteri untuk meletak jawatan berdasarkan surat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada Yang Di Pertuan Agong.

“Walaupun Perdana Menteri cuba mencari konsensus untuk tidak membubarkan Parlimen dalam keadaan pandemik Covid-19 tengah memuncak ini, namun membubarkan Parlimen dan bertindak sebagai ‘caretaker government’ selama 60 hari adalah satu-satunya pilihannya jika perlu.”

Politik negara sebelum ini berkocak apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Agong dan mempersembahkan surat sokongan ketua-ketua parti politik yang dikatakan menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun penafian UMNO bahawa Presidennya menandatangani sebarang surat sokongan kepada Anwar Ibrahim menamatkan spekulasi Ketua Pembangkang tersebut mempunyai majoriti yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.

Pagi tadi Perdana Menteri mengadap Tuanku Agong sebagai perjumpaan biasa pra-mesyuarat kabinet. Bagaimanapun difahamkan ia turut membincangkan senario politik semasa dan keadaan pandemik Covid-19.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 itu dijadual dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 4 petang, 6 November nanti.

Mesyuarat ke-3, penggal ke-3, Parlimen ke-14 itu akan berlangsung sehingga 15 Disember depan akan menjadi mesyuarat Parlimen terakhir untuk penggal ini jika Belanjawan 2021 ditolak oleh Dewan Rakyat.

Sekiranya dibubarkan pada akhir Disember, Pilihan Raya Umum ke-15 perlu diadakan selewat-lewatnya Mac 2021.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin hanya mempunyai 113 Ahli Parlimen berbanding majoriti mudah dewan ialah 112. – SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat