KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Dato Seri Shafie Afdal ditempelak kerana sanggup menjaja pelbagai tohmahan dan pembohongan demi mengekalkan tampuk kuasanya.
Dia (Shafie) ketika berkempen tanpa segan silu melemparkan tuduhan liar dan memanipulasi isu perkauman untuk mengelirukan rakyat, kata Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dilaman facebook.
“Sudah menjadi resam baharu parti Warisan menyebarkan berita palsu.
“Dia menuduh pentadbiran kerajaan lepas (Barisan Nasional) dengan sengaja memberikan tanah milik Yayasan Sabah (YS) kepada segelintir pihak,” ujarnya.
Shafie sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS sepatutnya sedar bahawa tuduhan itu tidak benar kerana kawasan yang dilesenkan kepada YS tidak boleh diberikan kepada pihak ketiga.
Yayasan Sabah hanya boleh menjemput pihak ketiga untuk mengeluarkan hasil balak menerusi kaedah Pembalakan Kurang Impak (RIL) atau membangunkan kawasan yang dilesenkan secara kontrak.
“Adakah berita palsu, penipuan, kempen kotor dan pembunuhan karakter adalah satu-satunya jalan untuk mereka dilantik sebagai ahli politik.
“Ucapan Shafie semuanya retorik politik yang disulam dengan pelbagai kenyataan ralat bersandarkan propaganda, dan juga sarat dengan elemen perkauman,” katanya lagi.
Disamping itu, Musa juga berkata, sepanjang pentadbiran Warisan tidak banyak yang boleh dibanggakan, pertumbuhan KDNK misalnya hanya sekadar 0.5% (terendah di Malaysia untuk tahun 2019).
Shafie dan kabinetnya hanya banyak menghadiri majlis keramaian dan majlis potong reben dan merasmikan projek serta program yang dirancang oleh pentadbiran Barisan Nasional lepas.
“Warisan hanya pakar dalam hal mengumumkan projek bernilai berbillion ringgit yang sehingga kini langsung tidak nampak bayangnya.
“KPI Warisan dalam menabur janji kosong dan menyebarkan berita palsu semakin menjadi-jadi, saya risau kalau itu sahaja yang mampu mereka tawarkan,” katanya. -SuaraTV