KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dilantik Pengarah Strategi PKR.
Jawatan itu sebelum ini disandang Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasir.
Pengumuman itu dibuat PKR selepas mesyuarat biro politik PKR dipengerusikan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Pada pemilihan PKR lalu, Tze Tzin kalah dalam cubaan menduduki satu daripada empat kerusi naib presiden manakala Akmal menang jawatan majlis pimpinan pusat (MPP) walaupun gagal pertahan ketua PKR Johor Bahru.
PKR turut mengumumkan barisan pimpinan negeri yang antaranya menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menggantikan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh sebagai ketua PKR Johor.
Perubahan itu juga menyaksikan dua setiausaha politik Anwar mengetuai pimpinan PKR negeri iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Melaka) dan Ahmad Farhan Fauzi (Pahang).
Seorang lagi pegawainya Datuk Azman Abidin kekal mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution dilantik mengetuai PKR Kedah manakala Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari serta Datuk Seri Aminuddin Harun masing-masing kekal mengepalai PKR Selangor serta Negeri Sembilan.



