Ratu Jazz negara, Sheila Majid, kembali dengan single terbaru bertajuk Moving On, bertepatan dengan sambutan 40 tahun perjalanan seni beliau dalam dunia muzik tanah air dan serantau. Lagu ini bukan sekadar buah tangan baharu, tetapi simbol kematangan, ketahanan dan kelangsungan seorang legenda dalam menghadapi arus muzik yang sentiasa berubah.
Pelancaran Moving On turut mencerminkan sisi Sheila yang sentiasa bereksperimen dan berani keluar dari zon selesa kali ini melalui kolaborasi eksklusif bersama penerbit muzik dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang terkenal dalam pembentukan muzik K-Pop dan pop antarabangsa.
Sheila mengakui pada awalnya beliau tertarik dengan idea untuk bekerjasama dengan produser yang “tidak tahu siapa dirinya” satu cara untuk mendapatkan perspektif segar tanpa terikat dengan jangkaan atau nostalgia. “Saya mahu seseorang yang dengar suara saya dan hasilkan sesuatu berdasarkan naluri kreatif, bukan reputasi saya,” katanya.
Proses pembikinan lagu ini juga berbeza dari kebiasaan. Sheila menyumbang idea secara langsung dari awal dari melodi hingga ke lirik, menjadikan Moving On sebagai karya peribadi yang sangat dekat di hati beliau. “Kami mula dari kosong di studio. Tiada demo, tiada melodi awal. Segalanya lahir dari perbualan dan perasaan pada hari itu,” kongsi Sheila.
Dengan suntikan elemen disko dan ‘city pop’ yang diinspirasikan dari era 80-an, Moving On menampilkan sisi nostalgia tetapi dibalut dengan produksi moden. Sheila turut menyediakan mood board penuh rujukan kepada Hyuk Shin, dengan nama-nama seperti Donna Summer dan Diana Ross menjadi inspirasi utama.

Namun, lagu ini tidak sekadar tentang muzik ia adalah mesej kekuatan jiwa. Moving On mengangkat tema bangkit daripada kekecewaan, melangkah dengan yakin dan meninggalkan komen-komen negatif yang sering menjadi racun di media sosial hari ini.
“Dunia terus berputar, tinggalkan kecewa, teruskan bersinar…”
– Petikan lirik Moving On
Moving On dilihat sebagai simbol transisi Sheila Majid — daripada seorang penyanyi yang dulunya bergerak di bawah label besar, kini kepada seorang seniman bebas yang lebih mengutamakan ekspresi berbanding strategi pasaran. Tanpa sebarang tekanan untuk mengikut arus, Sheila memilih untuk melancarkan karya ini demi dirinya dan peminat setianya.
“Saya tak ada label. Jadi saya buat lagu ini sebab saya nak, bukan sebab ada kontrak,” jelasnya. Beliau juga menegaskan bahawa pelancaran ini bukan sekadar “kembali” ke pentas, tetapi satu bentuk penghormatan kepada 40 tahun perjalanan dan dedikasi kepada seni.
Pelancaran Moving On menerima sambutan hangat daripada peminat baru dan lama. Ramai yang terkesan dengan mesej lagu dan gaya produksi yang segar tetapi masih mempunyai DNA Sheila Majid yang lembut, elegan dan penuh emosi.
Adakah ini petanda akan hadirnya album penuh? Sheila tidak menolak kemungkinan, tetapi menjelaskan bahawa segalanya bergantung kepada sokongan dan sumber kewangan.
“Kalau ada dana dan lagu-lagu yang cukup kuat, saya akan pertimbangkan untuk buat album. Tapi saya tak akan kompromi kualiti. Saya perlu suka dulu sebelum saya sajikan pada peminat,” katanya.
Dengan Moving On, Sheila Majid membuktikan bahawa seni sejati tidak lapuk ditelan masa. Ia berkembang, berevolusi dan terus bersinar — seperti dirinya.



