Anwar lega Kerajaan Madani berjaya turunkan komitmen hutang baharu

KUALA LUMPUR – Menghampiri 3 tahun pentadbiran Madani Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tindakan kerajaan mereformasi fiskal berjaya menurunkan kadar defisit secara konsisten setiap tahun iaitu daripada 5.5 peratus (2022); kepada 5.0 peratus (2023); seterusnya 4.1 peratus (2024); dan sasaran 3.8 peratus (2025).

Perdana Menteri berkata, pengurangan kadar defisit juga bermakna, kerajaan ini berjaya turunkan komitmen hutang baharu iaitu daripada sekitar RM99 bilion (2022); kepada RM92.6 bilion (2023); seterusnya RM76.8 bilion ringgit (2024).

“Pencapaian bermakna ini membolehkan kita berada di landasan kukuh ke arah mencapai sasaran defisit fiskal 3 peratus dengan mengurangkan hutang baharu setiap tahun,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Anwar, ketika mengambil alih pentadbiran, Kerajaan Madani mewarisi suatu jumlah hutang yang menggunung melebihi RM1 trilion.

“Faktanya, selagi mana belanjawan negara terus dalam defisit, selagi itu jumlah hutang akan terus meningkat.

“Apa pilihan yang kerajaan ada? Kita terpaksa akur─bertindak dengan berani dan berhati-hati, menangani keterlanjuran lalu tanpa menjejaskan maslahat majoriti rakyat. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak selerak.

“Maka, atas maksud yang sama, sedari awal komitmen kita secara tegas untuk melakukan pembaharuan fiskal secara berfasa dengan meningkatkan hasil, mengoptimum perbelanjaan seperti menyasar semula subsidi yang akhirnya mengurangkan hutang baharu dalam belanjawan negara.

“Komitmen ini telah kita zahirkan dengan tegas melalui penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang di dalamnya terkandung beberapa penanda aras yang jelas,” ujar beliau yang juga Menteri Kewangan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat