Menteri boleh semak data pelancong China dalam simpanan KDN, kenapa tanya saya? – Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Menteri Dalam Negeri boleh menyemak sendiri data masuk keluar pelancong China yang masuk ke Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu malah mengingatkan, bukankah menjadi tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Menteri menghitung siapa yang masuk dan siapa yang keluar.

“KDN dan Menterinya tuntut supaya saya buktikan jutaan pelancong China tidak pulang ke negara asal. KDN sendiri telah nyatakan di Parlimen seperti yang dilaporkan di Berita Harian pada 27 Julai 2022 mengenai lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia setelah tiba di negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021. Ini juga telah dilapor oleh media pada bulan Julai 2022.

“Saya telah berjumpa dengan ramai mereka dan ramai yang memiliki rumah di Kuala Lumpur. Angka 1.5 juta disebut oleh pendakwa lain. Saya cuma terima dakwaan mereka.

“Menteri boleh semak data dalam simpanan KDN dan yang mempunyai maklumat ialah KDN dan Menteri. Tiap tahun Kerajaan isytihar jumlah pelancong yang masuk. Kerajaan tentu tahu jumlah yang keluar. Kenapa tanya saya? Soal Dr Mahathir dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau lagi, teknologi kini memboleh data dikutip di semua pintu masuk dan pintu keluar negara.

Tiap pelancong perlu tunjuk passport yang mempunyai butiran yang cukup.

“Bukankah menjadi tanggungjawab KDN dan Menteri menghitung siapa yang masuk dan siapa yang keluar.

“Jika saya diberi akses kepada semua rekod saya boleh bukti. Tetapi untuk semak rekod-rekod yang disimpan oleh kerajaan bayarannya amat tinggi. Ia seolah Kerajaan ingin sembunyi data.

“Apa gunanya rekod jika Menteri pun tidak dapat maklumat akan data di dalamnya.

“Banyak lagi rekod yang disimpan oleh Kerajaan. Umpamanya siapa yang memiliki tanah, siapa yang kaya yang tinggal dalam perumahan mewah,” dakwa Dr Mahathir.

Menurut beliau, mengklasifikasikan B40 dan T20 sahaja tidak cukup.

“Kerajaan boleh dapat lebih banyak maklumat untuk bertindak, untuk menentu dasar.

“Rakyat berhak tahu data ini dan dasar kerajaan berkenaan dengan maklumat yang didapati,” bidasnya.

Baru-baru ini media melaporkan, KDN tidak dapat membuktikan dengan tepat berhubung dakwaan kononnya terdapat jutaan pelancong China yang tidak pulang ke tanah asal.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu itu bukan perkara baharu, sebaliknya ia rancak dibongkarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum pilihan raya 2018 yang lalu.

Beliau berkata, jika betul dakwaan itu, individu paling tepat untuk mengesahkannya adalah Dr. Mahathir sebagai individu yang membangkitkan isu itu dan bukannya tugas kerajaan untuk membuktikan perkara itu.

“Ketika itu, Tun (Dr. Mahathir) pernah dedah angka dan semuanya, namun beliau tidak selesaikan dakwaan itu dengan bukti dan maklumat.

“Kalau dia (Dr. Mahathir) boleh bantu bekalkan maklumat, itu lebih baik. Namun, hakikatnya tiada. Dia buat pendedahan tapi tidak selesaikannya.

“Saya anggap dakwaan itu kekal di situ. Orang paling tepat untuk ditanya adalah Dr. Mahahthir. Boleh Tun beritahu di mana dan berapa ramai, itu lebih bertanggungjawab,” katanya.

Tahun lalu, KDN pernah melaporkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

KDN memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat