Oleh: Zihan Zari
SUNGAI BULOH – Seramai 278 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) menerusi Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan (MinDef) memaklumkan RPEL telah dilaksanakan sejak 2017, memberi peluang kepada anggota ATM yang sedang berkhidmat dan veteran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seterusnya meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan.
Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan Penganugerahan DKM dan Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kompleks PERHEBAT pada Selasa.
Beliau berkata, melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) memberi keutamaan dan komitmen terhadap inisiatif pembangunan modal insan dan sosio ekonomi kepada bakal pesara dan veteran ATM.
Katanya, inisiatif yang digarap ini bertujuan bagi menyediakan anggota ATM yang bakal bersara untuk merancang dan mengatur perjalanan selepas tamat perkhidmatan.
Melalui inisiatif ini, PERHEBAT telah menganjurkan program Latihan Peralihan dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) dan keusahawanan sebagai enabler kerjaya kedua veteran tentera.
“PERHEBAT kini sedang memantau perkembangan kerjaya seramai 6,851 orang pesara ATM yang telah menamatkan latihan peralihan pada tahun lalu.
“Sebanyak 60% veteran telah mempunyai kerjaya, 17% bekerja dengan majikan, 23% menjadi usahawan tunas atau bekerja sendiri, 20% menjadi usahawan manakala 40% masih mencari pekerjaan.
“PERHEBAT dengan kerjasama JPK telah melaksanakan program RPEL yang menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), DKM dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
“Seramai 1,191 anggota tentera telah menamatkan latihan di Kompleks PERHEBAT Sungai Buloh manakala bakinya sebanyak 2,065 anggota bakal ditauliahkan di negeri masing-masing,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MinDef, Datuk Seri Isham Ishak; Panglima ATM , Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; Pengerusi PERHEBAT, Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Mohammad Ashraf Md. Radzi. – Suara.TV