Will Smith enggan tinggalkan majlis – penganjur Oscar

- Advertisement -

NEW YORK: Penganjur Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, The Academy of Motion Pictures Arts and Sciences meminta Will Smith meninggalkan majlis selepas insiden dia melempang penyampai trofi, Chris Rock, pada malam kemuncak acara itu, Isnin lalu, namun, pelakon dan penerbit itu, enggan berbuat demikian.

Agensi berita Time melaporkan, ahli lembaga pengarah akademi mengadakan mesyuarat semalam bagi menggerakkan tindakan disiplin ke atas Smith kerana melanggar standard tata tertib dan perilaku badan itu.

Mengikut laporan Time, antara tindakan yang boleh diambil The Academy of Motion Pictures Arts and Sciences ke atas penerbit dan pelakon kontroversi itu termasuk menggantung dan memecat atau sebarang tindakan lain yang difikirkan sesuai, susulan insiden yang mengejutkan penonton acara siaran langsung itu.

Sebelum ini, banyak pihak mempertikaikan mengapa Smith masih dibenarkan duduk di barisan hadapan pada majlis gemilang itu, selepas dia menampar Rock, lapor Time.

“Insiden berlaku dalam keadaan yang tidak dijangka. Kami mahu jelaskan Smith sudah diminta meninggalkan majlis namun dia enggan, kami juga maklum situasi itu boleh ditangani dengan cara berbeza,” kata jurucakap akademi, lapor Time.

Bagaimanapun, wakil akademi enggan memperincikan usaha yang diambil ketika itu untuk meminta Smith meninggalkan majlis.

Tambah laporan Time, akademi memberi peluang kepada Smith untuk memberi penjelasan bertulis sebelum Ahli Lembaga Pengarah bermesyuarat pada 18 April depan.

Sementara itu, pihak pengurusan Smith tidak membalas mesej dihantar mengenai tindakan yang bakal diambil akademi, lapor Time.

Sebelum ini, The Academy of Motion Picture Arts and Sciences dilaporkan mengutuk insiden Smith menempeleng Rock dan sudah memulakan siasatan dalaman.

Melalui kenyataan akademi itu, penganjur sudah memulakan proses menilai semula insiden mengejutkan itu dan sedia menimbang tindakan selanjutnya mengikut standard kelakuan dan undang-undang di California, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi.

Selain kenyataan media, turut dikepilkan dokumen lima muka surat berhubung standard kelakuan yang memberi petunjuk jenis perlakuan atau perbuatan yang tidak diterima Academy of Motion Picture Arts and Sciences berkaitan penganjuran Anugerah Akademi (Oscar), lapor agensi.

Smith dilaporkan memohon maaf kepada Rock atas insiden itu dan mengaku bertindak di luar batasan.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada anda. Saya berada di luar batasan dan saya salah.

“Saya malu dan tindakan saya tidak menunjukkan seorang lelaki yang ingin saya jadi,” tulis pelakon dan penerbit itu yang diumum Pelakon Filem Lelaki Terbaik hasil lakonan dalam filem King Richard di Instagram (IG).

Isnin lalu, pergeseran Rock dan Smith di pentas Oscar yang menyaksikan Smith melempang pelakon dan pelawak popular itu, mengejutkan penonton di Dolby Theatre, Los Angeles dan seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung acara anugerah berprestij itu.

Ia berlaku ketika Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan isteri Smith, Jada Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.

Secara tiba-tiba, Smith yang juga calon Oscar, naik ke pentas lalu melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.

Sebaik menampar Rock, Smith kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Rock meminta agar nama isterinya tidak disebut.

“Oooo! Wow! Will Smith bagi saya penampar,” kata Rock selepas ditampar Smith.

Menuju ke tempat duduknya, Smith dilihat berjalan sampai memberi amaran kepada Rock supaya tidak mempersenda isterinya.

“Jangan nak sebut-sebut nama isteri aku,” katanya.

Difahamkan, pada detik itu, kata-kata Smith ‘dipadamkan’ daripada siaran ulangan. AGENSI

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat