KUANTAN, — Program Ziarah MADANI sempena ambang sambutan Tahun Baharu Cina terus memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mendekati masyarakat pelbagai kaum serta memahami cabaran rakyat di peringkat akar umbi.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, beliau bersama pasukan telah mengadakan Ziarah Kasih ke atas masyarakat Cina dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota sebagai sebahagian usaha berterusan untuk mendengar sendiri permasalahan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup, kesihatan dan kebajikan keluarga.
Menurut beliau, program berkenaan melibatkan lawatan ke 10 buah rumah penerima berdaftar dalam sistem e-Kasih di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu.
Antara lokaliti yang terlibat ialah Bukit Setongkol, Chenderawasih, Bukit Sekilau, Air Putih dan Kampung Padang.
“Melalui pendekatan turun padang ini, ruang digunakan sepenuhnya untuk berinteraksi secara langsung dengan keluarga terlibat selain memahami cabaran kehidupan seharian yang mereka hadapi,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai tanda keprihatinan kerajaan, setiap keluarga yang diziarahi turut menerima sumbangan kewangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumlah RM500 bagi meringankan beban persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.
Lawatan itu turut disertai Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Pahang (ICU JPM Pahang) yang diketuai Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin, Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu YB Chan Chun Kuang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membuat bancian dan menilai potensi bantuan lanjut yang boleh disalurkan kepada penerima.
Datuk Ahmad Farhan menegaskan, inisiatif Ziarah MADANI mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Beliau berkata, semangat kebersamaan serta keharmonian masyarakat majmuk perlu terus disemai dan dipupuk sebagai asas kestabilan negara.
“Pendekatan mendengar, memahami dan bertindak secara langsung di lapangan akan terus diperkasakan sebagai teras kepada tadbir urus berteraskan nilai ihsan, empati dan keadilan sosial,” katanya.



