KUALA LUMPUR – Calon bebas pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah 29 November lalu, Mohd Ismail Ayob diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadual 24 Januari depan.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin pada Majlis Bersama Media di Bangunan Umno Sabah, di Kota Kinabalu, petang Selasa, lapor media di Sabah.
Jafry berkata, pemilihan Ismail mengambil kira PRN17 yang baru saja berakhir yang mendorong BN Sabah memilih mengambil calon perpaduan dalam menentukan calon bagi PRK DUN Lamag.
Katanya, pendekatan itu selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.
“Berteraskan pertimbangan itu, BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) Barisan Nasional.
“Pencalonan ini adalah strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik,” katanya menurut Buletin TV3.
Beliau berkata, BN Sabah berpandangan pengukuhan kedudukan parti di Kinabatangan bukan sekadar soal persaingan pilihan raya, sebaliknya satu keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, ia selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kemakmuran, kerjasama dan tadbir urus berasaskan konsensus.
“Sehubungan itu, BN Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, atas panduan dalam memperkukuh usaha kerjasama politik dan kestabilan negara.
“Penghargaan yang sama turut dizahirkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas komitmen berterusan dalam memastikan keharmonian politik serta kelangsungan pentadbiran negeri,” katanya.
Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, BN Sabah menghormati kepelbagaian pandangan yang dizahirkan semua pihak dan berpendirian perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi.
“Namun, ia mesti diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
“BN Sabah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera akar umbi atas komitmen, disiplin dan semangat kebersamaan dalam memastikan keharmonian sosial serta kemajuan Sabah terus terpelihara,” katanya.
Pada majlis yang sama, Jafry turut mengumumkan semula pencalonan Mohd Naim Kurniawan Moktar yang sebelum ini diumumkan Ahmad Zahid sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan.
“Dalam landskap politik yang semakin mencabar dan dipengaruhi oleh perubahan sentimen dan pengaruh melalui segmen yang pelbagai, khususnya dalam kalangan pengundi muda, BN Sabah berpandangan bahawa keperluan memperkukuh kepimpinan pelapis serta membina naratif politik yang inklusif dan menyatukan adalah penting bagi memastikan kelangsungan perjuangan BN yang stabil dan relevan.
“Dalam konteks ini, BN Sabah melihat Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai pemimpin muda yang memenuhi keperluan kepimpinan masa hadapan melalui legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi serta keupayaan menterjemahkan aspirasi rakyat di peringkat lapangan,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Pada PRN17 lalu, Bung Moktar memenangi kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi menewaskan Mohd Ismail sebagai pencabar terdekatnya.
Pada pilihan raya itu, Allahyarham Bung Moktar mendapat 3,908 undi, manakala Mohd Ismail mendapat 3,755 undi dalam pertandingan enam penjuru.



