KUALA LUMPUR – Setiausaha Umno Johor Datuk Abdul Halim Suleiman mendakwa mendakwa konflik yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini adalah kifarah politik akibat pengkhianatan yang dilakukan Pas dan Bersatu terhadap Umno.
Ahli Dewan Negara itu berkata, Bersatu, yang sebahagian besar kepimpinannya datang daripada Umno, pernah memilih untuk meninggalkan perjuangan asal demi kuasa jangka pendek.
Manakala katanya, Pas pula sanggup memutuskan Muafakat Nasional (MN) demi bersama Bersatu dalam Kerajaan PN.
Hari ini menurut beliau, kedua-duanya sedang berdepan kesan daripada keputusan tersebut.
“Saya melihat apa yang berlaku hari ini sebagai kifarah politik. Bersatu, yang sebahagian besar kepimpinannya datang daripada Umno, pernah memilih untuk meninggalkan perjuangan asal demi kuasa jangka pendek.
“Pas pula sanggup memutuskan Muafakat Nasional, satu kerjasama yang dibina atas semangat penyatuan ummah, demi bersama Bersatu dalam Kerajaan PN. Hari ini, kedua-duanya sedang berdepan kesan daripada keputusan tersebut,” selar Abdul Halim.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Tebrau menegaskan, politik yang dibina atas kemarahan, dendam dan gelojoh untuk berkuasa tidak pernah bertahan lama.
“Selagi kuasa menjadi tujuan utama, selagi itulah pengkhianatan dianggap perkara biasa.
“Apa yang berlaku dalam PN hari ini bukan serangan luar, tetapi akibat daripada budaya politik yang mereka sendiri suburkan.
“Umno mengambil pengajaran daripada episod ini. Perjuangan bukan soal siapa cepat sampai ke puncak, tetapi siapa mampu kekal berprinsip walaupun diuji.
“Rakyat kini tidak lagi mudah terpesona dengan slogan dan retorik agama atau reformasi yang dilaungkan hanya bila sesuai dengan kepentingan politik,” ujar beliau.
Akhirnya kata Abdul Halim, politik adalah soal amanah dan kepercayaan.
“Bila kepercayaan itu dikhianati berulang kali, rakyat akan mula berpaling.
“Pas dan Bersatu boleh terus menafikan keretakan ini, tetapi realitinya semakin jelas.
“Lebih ketara lagi bila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dengan diikuti pula oleh anak didiknya, Azmin Ali dan Dr Sahrudin Jamal yang turut melepaskan kerusi Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Johor.
“Bagi saya, sebaiknya Muhyiddin, Azmin dan Dr Sahrudin letakkan sekali jawatan Ahli Parlimen Pagoh, Gombak dan ADUN Bukit Kepong barulah nampak gentlemen
“Begitu itu nasib bila perikatan yang dibina tanpa keikhlasan pastinya akan runtuh bukan kerana musuh, tetapi kerana gejolak nafsu politik sendiri,” katanya.
Abdul Halim menambah lagi, beliau sejujurnya lihat hubungan Pas dan Bersatu dalam PN hari ini sudah sampai ke tahap sukar disorok.
“Kalau dulu nampak bersatu di hadapan penyokong, sekarang retaknya makin jelas walaupun cuba ditutup dengan kenyataan manis.
“Selepas PRU15, apabila PN berjaya kuasai empat negeri, ramai menyangka gabungan ini akan jadi lebih kukuh. Tetapi realitinya, kemenangan itu rupanya hanya menangguhkan perpecahan yang memang sudah lama menunggu masa.
“Bila kuasa sudah digenggam, barulah masing-masing mula menunjukkan belang. Pas dan Bersatu kini lebih sibuk bertanya ‘siapa lebih kuat” dan “siapa lebih layak’, daripada bertanya apa yang rakyat perlukan.
“Yang sering kedengaran bukan lagi soal dasar atau solusi, tetapi perebutan jawatan, permainan pengaruh dan strategi untuk menjatuhkan rakan sendiri secara senyap,” kata beliau.
Menurut Abdul Halim, apa yang berlaku di Perlis hanyalah gambaran kecil kepada masalah yang lebih besar.
“Daripada bekerjasama mentadbir, mereka terperangkap dalam konflik dalaman yang akhirnya memakan diri.
“Bila rakan seperjuangan boleh disingkirkan tanpa rasa bersalah, maka jelaslah bahawa ikatan dalam PN bukan dibina atas kepercayaan, tetapi atas kepentingan sementara.
“Isu calon Perdana Menteri PN pula menambah panjang senarai keretakan. Masing-masing mahu calon sendiri, masing-masing mahu dominasi.
“Kalau dalam satu gabungan pun gagal mencapai kata sepakat tentang kepimpinan tertinggi, sukar untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mengurus negara dengan stabil. Politik tidak boleh dipandu oleh ego semata-mata,” tempelak beliau.



