Buang ego, hentikan naratif budaya tuduh menuduh sehingga putus silaturahim – Mursyidul Am Pas

KUALA LUMPUR – Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin mengingatkan perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi asbab untuk kita bermusuh sehingga memutuskan silaturahim.

Menurut beliau, Pas memerhati dengan penuh insaf suasana politik tanah air mutakhir ini yang dilihat semakin panas dengan pelbagai polemik.

“Apa yang membimbangkan adalah budaya tuduh-menuduh, serangan peribadi, dan lemparan tohmahan yang dilihat semakin membarah dan menjauhkan kita daripada adab sopan serta akhlak Islamiah.

“Suka untuk saya memperingatkan diri saya dan semua pihak, bahawa budaya tuduh-menuduh tanpa asas yang kukuh tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada agama, bangsa, mahupun negara.

“Sebaliknya, ia hanya akan melebarkan jurang perpecahan, menyemai benih kebencian, dan akhirnya merugikan rakyat yang mendambakan pembelaan nasib mereka,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Menurut Hashim, ​Islam mengajar kita untuk bersangka baik (husnuzon) dan menyiasat sesuatu berita (tabayyun) sebelum menyebarkannya.

“Firman Allah SWT di dalam Al-Quran jelas melarang kita daripada saling mencela dan memanggil dengan gelaran yang buruk.

“Justeru, hentikanlah segala naratif yang bersifat fitnah dan serangan yang memecah belahkan,” nasihat beliau.

​Sebaliknya kata beliau, Pas menyeru seluruh kepimpinan politik dan rakyat jelata untuk kembali kepada agenda penyatuan ummah.

“Marilah kita mencari titik persamaan demi kestabilan negara. Tenaga dan masa yang ada sepatutnya digembleng untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat, ekonomi, dan kedaulatan negara, bukannya dihabiskan untuk bertelagah sesama sendiri.

“Kita perlu berlapang dada dan membuang ego untuk duduk berbincang atau setidak-tidaknya mengamalkan politik matang dan sejahtera.

​”Kepada ahli-ahli dan penyokong Pas khususnya, serta umat Islam amnya, marilah kita menjadi contoh teladan dalam mempamerkan kematangan berpolitik.

“Kekalkan fokus kepada gerak kerja dakwah dan kebajikan, serta elakkan daripada terheret dalam kancah provokasi yang tidak berkesudahan.

“Semoga Allah SWT melembutkan hati-hati kita untuk bersatu padu dan memelihara negara ini daripada sebarang kemudaratan perpecahan.

​”Kembali kepada penyelesaian Islam,” seru Hashim.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat