PUTRAJAYA — Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memperkukuhkan strategi penyampaian perkhidmatan dengan menerbitkan video pendek bagi memberikan pemahaman kepada masyarakat berhubung peranan agensi ini kepada umum.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdu Latiff Wan Jaffar berkata, ini adalah antara perkara dan usaha sama yang proaktif diantara agensi dan media yang diperlukan dalam memastikan setiap maklumat sampai kepada kumpulan sasar.
“Ini adalah gambaran sebenar bahawa media sosial tidak boleh lagi diabaikan dalam agenda harian, kehidupan peribadi dan yang utama adalah kepada agensi Kerajaan untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat pada ketika ini.
“Kerana pada ketika ini umum harus tahu bagaimana kita melaksanakan tanggungjawab yang dipikul supaya melalui pemahaman ini kepekaan masyarakat terhadap alam sekitar dapat dipertingkatkan.
“Kepentingan terhadap komitmen berterusan inilah membuatkan saya sentiasa menekankan untuk melaksanakan perkongsian sebegini bersama rakan media dalam berkongsi pemahaman dan peranan yang dimainkan oleh JAS,” katanya dalam satu sesi interaktif bersama pempengaruh dan media di Hotel Zenith hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedia maklum berhubung kepentingan maklumat melalui media sosial yang merupakan perkongsian terpantas dan paling mudah untuk diakses pada ketika ini.
“Bersesuaian dengan tagline Jabatan iaitu ‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’ saya melihat untuk mendidik dan menjadikan tagline ini sebagai satu komitmen semua pihak ianya memerlukan sokongan dan dokongan daripada semua.
“Justeru itu melalui medium inilah segala maklumat dapat disalurkan dan dikongsi kepada masyarakat dengan mudah dan pantas,” katanya.
Tambahnya dalam usaha meningkatkan kualiti air sungai, isu pencemaran perlu ditangani secara bersepadu dengan penglibatan agensi kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Tindakan bersepadu dan holistik akan meningkatkan keberkesanan strategi penguatkuasaan ke atas sumber pencemaran sungai antaranya pembukaan tanah, pembangunan dan industri.
“Isu kualiti air ini dilihat secara menyeluruh melalui Majlis Air Negara yang merupakan platform antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan terbaik dalam menangani perkara-perkara berkaitan,” katanya.