Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA, 13 Mei 2024 – Julina Johan, 53, dilantik sebagai Ketua Pengarah Penerangan, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) baharu berkuat kuasa Isnin.
Menurut kenyataan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen memaklumkan, Julina merupakan Ketua Pengarah yang ke-19 dan wanita kedua selepas Roselindawati Abdul Rahman yang dilantik menerajui JaPen sejak penubuhannya pada tahun 1945.
Dilahirkan di Johor, memiliki Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang perhubungan awam kerajaan dan komunikasi strategik, telah memulakan karier sebagai penjawat awam pada tahun 1996.
Beliau sebelum ini telah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), JaPen pada 2023.
Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa kementerian seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan lain-lain lagi.
“Melalui pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau diyakini akan dapat memperkasakan tatakelola serta meneruskan kecemerlangan JaPen , ”menurut kenyataan itu lagi. -SUARA.TV