‘Daulat tiada kaitan polemik politik semasa’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penerbit filem Daulat, Lacuna Pictures akur filem pertama terbitannya tidak dapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk ditayangkan, tahun lalu.

Filem Daulat yang menampilkan barisan pelakon Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Jasmine Suraya Chin, Cristina Suzanne dan Zul Zamir tidak mendapat kelulusan LPF berikutan membawakan naratif kisah politik.

Penerbit Eksekutif yang juga pengarah dan penulis skrip, Imran Sheikh berkata, filem bajet RM500,000 itu tiada kena mengena dengan situasi politik semasa.

Katanya, ada yang mendakwa jalan cerita filem Daulat memiliki persamaan dengan gerakan Langkah Sheraton, namun penggambaran filem bergenre ‘political thriller’ itu dilakukan pada Julai 2019.

Sedangkan, katanya, gerakan yang didakwa memecahkan politik Malaysia itu tercetus pada Februari 2020.

“Sudah tentu saya sedih apabila filem pertama yang diterbit, arah dan hasil skrip tidak mendapat kelulusan tayangan di panggung wayang oleh LPF, tahun lalu.

“Saya menyedari risiko yang bakal ditanggung apabila memilih genre ‘political thriller’, tetapi saya menyangka mungkin ada beberapa babak sahaja bakal dipotong.

“Namun, sangkaan meleset sama sekali selepas pertemuan dengan LPF. Mereka minta saya tukar hampir 50 peratus jalan cerita asal.

“Pada masa sama, saya diminta menggugurkan beberapa watak yang dianggap sensitif. Bagaimanapun, permintaan LPF tidak dapat dipenuhi kerana produksi menghadapi masalah kekangan bajet,” katanya kepada BH Online.

Imran berkata, bukan sahaja soal kekangan bajet, malah, produksi juga terpaksa menukar jalan cerita dan melakukan semula penggambaran.

“Jujurnya, saya tidak mempunyai bajet mencukupi. Saya melabur dalam filem Daulat hasil perniagaan makanan yang diusahakan.

“Saya sedar menghasilkan filem bergenre politik memerlukan bajet yang besar. Namun, disebabkan minat, saya menggunakan sumber kewangan yang ada agar minat tidak terkubur begitu sahaja.

“Saya tidak berniat langsung menyindir atau mempermainkan isu polemik politik semasa. Sekiranya ada persamaan, itu hanya secara kebetulan.

“Saya sudah dimaklumkan risiko bakal ditanggung apabila menghasilkan filem berunsur politik, tetapi saya tidak menyangka ia tidak diluluskan terus,” katanya.

Imran (tengah) bersama teraju utama filem Daulat, Vanidah dan Tony.
Imran (tengah) bersama teraju utama filem Daulat, Vanidah dan Tony.

Imran berharap, LPF bersikap lebih terbuka dengan tidak mengekang kreativiti pembikin filem.

Katanya, dia bukan mahu mempertikaikan peranan LPF, malah menyifatkan tugasan mereka amat penting, namun, sekiranya terlalu banyak syarat diletakkan, industri perfileman tanah air tidak akan berkembang kerana genre filem terhad.

“Selaku penulis skrip, saya bukan mahu menonjolkan sisi jahat ahli politik, tetapi bagaimana permainan politik dimainkan agar rakyat lebih peka.

“Saya ada meminta pendapat beberapa ahli politik yang dikenali sama ada wakil kerajaan mahupun pembangkang mengenai jalan cerita filem Daulat.

“Mereka berpendapat filem Daulat okay, tetapi menjangkakan mungkin beberapa babak kurang sesuai perlu dipotong.

“Jadi, saya tidak faham kenapa filem Daulat dikatakan sensitif, sedangkan orang politik sendiri tidak beranggapan sedemikian.

“Saya berharap ahli politik menjadi lebih realistik. Jika tidak bersalah tak perlulah tergugat kerana ia hanyalah cerita rekaan dan hiburan semata-mata,” katanya.

Tambah Imran, jika tidak melalui filem Daulat sekalipun, berlambak filem menyentuh politik dipaparkan menerusi platform Over The Top (OTT) termasuk filem dari Korea Selatan dan Hollywood, tetapi tiada pula mencetuskan kekacauan.

Malah, katanya, rakyat juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai polemik politik di hujung jari pada era kini menerusi media sosial ataupun media massa.

“Jadi, saya tidak faham kenapa filem Daulat dianggap menggugat,” katanya.

Imran kecewa apabila harapannya melihat Vanidah selaku teraju utama filem Daulat membolosi kategori Pelakon Wanita Terbaik, FFM31 tidak kesampaian, tahun ini.
Imran kecewa apabila harapannya melihat Vanidah selaku teraju utama filem Daulat membolosi kategori Pelakon Wanita Terbaik, FFM31 tidak kesampaian, tahun ini.

 

Filem Daulat disiarkan buat kali pertama menerusi platform iflix pada April tahun lalu. Menerusi dua hari tayangan, Daulat berjaya meraih 200,000 tontonan.

“Buat masa ini, kami belum menerima bayaran daripada pihak penyiar.

“Kini, filem Daulat boleh disaksikan menerusi platform Mubi, tetapi bayaran diterima tidak setinggi iflix kerana bukan tayangan perdana,” katanya.

Imran melahirkan kekecewaan apabila harapannya untuk melihat Vanidah memegang teraju utama filem Daulat membolosi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) tidak kesampaian, tahun ini.

“Kami berharap LPF dapat meluluskan filem Daulat. Selepas filem tidak diluluskan, sya ada membuat rayuan kepada LPF sekali lagi.

“Namun, selepas itu saya tidak lagi membuat sebarang rayuan kerana sibuk dengan karya lain pula.

“Cuma, saya terkilan Vanidah tidak layak bertanding, tahun ini. Ini kerana Vanidah mempunyai potensi untuk menang.

“Vanidah memberikan lakonan terbaik, tetapi disebabkan isu ini peluang Vanidah bertanding tertutup rapat,” katanya.

Terdahulu, terdapat enam filem yang diberi keputusan Tidak Lulus Untuk Tayangan tahun lalu dan satu filem, tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, enam filem itu termasuk Daulat yang diterbitkan di negara ini, iaitu filem tempatan.

Filem lain, katanya, Real Love yang diterbitkan di Perancis; Shubh Mangal Zyada Saavdhan dan Pallu Padama Paathuka (India); White Eye (Israel); Boluomi (Taiwan) dan Battle At Lake Changjin (China).

“Di bawah Akta Penapisan Filem ini, memang kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri untuk melantik mana-mana orang sebagai ahli lembaga penapis filem yang terdiri seorang pengerusi dan timbalan pengerusi serta tidak kurang dua orang ahli penapis filem lain.

“Bermakna jangan kurang dua orang. Boleh tiga orang, lima orang dan sebagainya,” katanya menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat