PM Rasmi Merdeka 118, Menara Ikonik Kedua Tertinggi Di Dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Merdeka 118 menara kedua tertinggi di dunia hari ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Merdeka 118 adalah bangunan ikonik kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan menara tertinggi di Malaysia serta Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata, inspirasi menamakan bangunan ini sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.

“Reka bentuk menara yang tersergam teguh ini sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’,
64 tahun yang lalu.

“Pembinaan Merdeka 118 juga merupakan cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

“Merdeka 118 kini bersedia menjadi sebahagian daripada pembaharuan Kuala Lumpur dengan sejarah, rekreasi,
sukan dan hiburan yang akan diaktifkan semula di ibu kota Malaysia,” katanya pada majlis penyempurnaan Puncak Menara Merdeka 118 pada Selasa.

Ismail Sabri memberitahu beliau berbangga kerana puncak menara ini dapat disempurnakan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Kata beliau, ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.

“Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.

“Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada PNB!,” ucap beliau.

Perdana Menteri menambah pembinaan Merdeka 118 ini, bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint ini akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur, sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun seperti KLCC dan KL Sentral.

Jelas beliau lagi, pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

Malah kata Ismail Sabri, Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

“Permohonan Geran Merdeka 118 ini telahpun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana Keluarga Malaysia
boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu sukan, seni dan komuniti perniagaan.

“Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosio-ekonomi.

“Hal ini dapat dilihat melalui usaha yang diambil oleh PNB untuk memelihara khazanah negara kita iaitu Stadium
Merdeka dan Stadium Negara melalui kerja pemuliharaan yang telah giat dijalankan,” katanya.

Usaha ini jelas Perdana Menteri, adalah selaras dengan visi kerajaan untuk membangunkan Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City dan Jabatan Warisan Negara.

“Pelan Induk Strategik KLCCD ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem berpusatkan kreativiti dan budaya
yang mampu merangsang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Malaysia.

“Saya teruja menantikan kesan positif serta nilai yang akan dibawa oleh mercu tanda baru ini kepada kawasan
bersejarah Kuala Lumpur ini.

“Ia sememangnya satu pencapaian yang signifikan bagi Malaysia dan mencerminkan kejayaan serta kemajuan yang
bakal kita capai sebagai sebuah negara selain simbol sebagai simbol rakyat Malaysia yang bersatu-padu.

“Tahniah kepada kepada PNB atas kejayaan membina satu lagi satu mercu tanda ikonik bagi Kuala Lumpur dan negara,” kata Ismail Sabri.

Kredit foto: NewPropertyLaunch.my

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat