Karnival Internet Selamat Didik Pelajar Guna Media Secara Berhemah

RAUB, – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, hari ini merasmikan Karnival Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat negeri Pahang yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, Raub.

Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan memupuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar tentang kepentingan menggunakan Internet dan media sosial secara berhemah, selamat dan bertanggungjawab.

Seramai 304 pelajar daripada 76 buah sekolah rendah dan menengah di daerah Raub dan Bentong menyertai karnival berkenaan, menjadikan kedua-dua daerah tersebut antara yang terawal di Pahang melaksanakan program KIS sepenuhnya.

Menurut MCMC, program ini merupakan kesinambungan pelaksanaan KIS sebelum ini yang telah dijalankan di 419 sekolah di seluruh negeri Pahang.

Turut menyertai program ialah mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, pelajar Kolej Komuniti Raub, wakil Majlis Pengakap Negeri Pahang, Komuniti MADANI, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kejiranan Rukun Tetangga (KRT), serta Majlis Belia Daerah Raub.

Antara pengisian utama karnival termasuk taklimat dan aktiviti interaktif menggunakan modul khas bagi meningkatkan kefahaman pelajar tentang keselamatan siber, etika digital dan tanggungjawab dalam penggunaan Internet.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC, dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut membuka reruai pameran bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai fungsi aplikasi Internet, risiko ancaman dalam talian serta had umur minimum bagi pemilikan akaun media sosial.

Sepanjang karnival, para peserta menunjukkan tahap penglibatan yang tinggi dan berjaya memahami asas literasi digital, termasuk mengenal pasti risiko seperti buli siber dan pengantunan (grooming), serta mempelajari cara penggunaan Internet yang selamat dan positif melalui aktiviti permainan interaktif.

Karnival ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Pejabat Pendidikan Daerah dan NADI, selaras dengan usaha memperkasa pendidikan digital dalam kalangan generasi muda.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat