KUALA LUMPUR- Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART 2025) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mempunyai klausa yang membolehkan negara menamatkan atau menarik diri secara sah.
Penjelasan itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pelbagai dakwaan mengaitkan Malaysia terikat dengan AS melalui pemeteraian perjanjian terbabit.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, klausa terbabit turut diberi penekanan serius oleh Jemaah Menteri.
“Saya tak minta saudara (Ahli Parlimen) berterima kasih tapi jangan kutuk seolah kita ini boneka AS, mana mungkin boleh cakap sedemikian rupa.
“Tetapi perjanjian perdagangan ini semuanya ada ‘exit clause’ (kluasa untuk tamatkan perjanjian), kenapa kita tandatangani juga?
“Ini kerana kita perlu pelaburan dan perdagangan tinggi dengan AS, namun soal menyerah (kepada AS) itu tak timbul,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa terdapat 40 klausa yang mengikat Malaysia, selain turut menyamakan perjanjian itu sebagai satu bentuk penjajahan terhadap negara.
Wan Ahmad Fayshal turut mendesak Perdana Menteri supaya membawa perjanjian itu untuk dibahaskan di Parlimen.
Anwar kemudian turut menggesa ahli Parlimen pembangkang supaya tidak terus berprasangka sebaliknya teliti dahulu setiap butiran perjanjian terbabit secara menyeluruh.
“Bila kita baik dengan China juga diserang, nampak baik dengan AS juga tak boleh, jadi nak baik dengan negara mana? Kelantan dan Kedah sahaja?
“Saya rayu rakan-rakan sebelah sini dan sana (pembangkang dan kerajaan), ini soal negara,” kata Perdana Menteri.



