KDN sedang nilai 49,000 permohonan jadi warganegara

KUALA LUMPUR – Sejumlah 49,000 daripada 55,000 permohonan kewarganegaraan kini dalam penilaian kerajaan sama ada untuk diluluskan atau tidak, termasuk kes-kes tertunggak yang menunggu keputusan sejak 20 tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua permohonan termasuk baki 6,000 itu akan diselesaikan sehingga akhir tahun ini.

Menurut Saifuddin, selepas beliau mengambil alih jawatan itu pada Disember 2022, jumlah permohonan ketika itu berjumlah 55,000 kes.

“Masa saya mula masuk pejabat ini (KDN) di bawah tajuk permohonan kewarganegaraan, ada kes lama, ada yang belum dibuat keputusan selama lima, 10, 15 hingga 20 tahun. Jumlahnya ketika itu ialah 55,000 permohonan.

“Khamis lalu, saya masih lagi menandatangani beberapa keputusan, pegawai maklumkan baki tinggal hanya 6,000 permohonan sahaja. Itu bermakna 49,000 lebih sudah dinilai sama ada diluluskan atau ditolak.

“Bagaimanapun, saya memberi jaminan bahawa semua permohonan ini akan diselesaikan sehingga akhir tahun ini termasuk bakinya. Perkara ini menjadi tumpuan dan tekad keutamaan saya untuk menyelesaikan kes berkenaan dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) jelas termasuk menjanjikan penyelesaian dalam tempoh 12 bulan,” lapor Utusan.

Setakat bulan lalu, KDN te­lah meluluskan sebanyak 17,385 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sejak 1 Januari 2023 sehingga 30 Jun tahun ini.

Jumlah itu adalah daripada 22,735 permohonan yang dipertimbangkan KDN sebelum ini dengan 77.7 peratus permohonan itu telah diberi keputusan lulus, manakala selebihnya iaitu 22.3 peratus permohonan diberi keputusan tolak.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, isu permohonan kewarganegaraan berjaya dise­lesaikan selepas pindaan kepada Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan dilaksanakan selain pindaan Peraturan-Peraturan Warganegara 1964.

Katanya, selain itu, pene­tapan SOP yang jelas turut membantu pemohon dari awal proses membuat permohonan supaya dapat menyediakan segala dokumen lengkap agar tidak berlaku ‘pending’ di pe­ringkat awal.

“Ada juga orang kata, bukankah tempoh 12 bulan itu pun agak lama? Ini soal pemberian warganegara. Separuh daripada tempoh 12 bulan itu adalah untuk tapisan keselamatan, yang saya tidak boleh percepat atau ‘bypass’ proses itu.

“Kita ada SOP yang jelas. Permohonan akan diberitahu seawal dokumen diserahkan. Jika dokumen tidak lengkap, tetapi pemohon tetap mahu menyerahkannya, mereka perlu menanggung risiko menunggu lebih lama,” katanya.

Dengan sistem baharu ini, kata beliau, pemohon akan dimaklumkan dari hari pertama serahan, berbanding dahulu ada yang menunggu sehingga tujuh tahun dan hanya untuk diberitahu bahawa permohonan mereka gagal dan terpaksa memulakan proses dari awal semula.

“Baru-baru ini pindaan Perlembagaan telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Selepas itu, pelaksanaan pula perlu dilakukan. Ia hanya sempurna apabila kita meme­nuhi beberapa syarat lagi seperti akta, peraturan dan pekeliling, termasuk borang-borang.

“Sebagai contoh, borang ba­gi permohonan luar negara per­lu dikemas kini kerana tidak boleh lagi menggunakan borang lama. Selepas semua itu selesai, barulah Yang di-Pertuan Agong akan menetapkan tarikh penguatkuasaan kepada pindaan tersebut.

“Sementara itu berlaku, saya pastikan permohonan lama di­selesaikan. Sekarang ini hanya tinggal lebih kurang 6,000 permohonan berbaki, daripada 55,000 kes lama,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rukun untuk dikurniakan taraf kewarganegaraan adalah jelas iaitu melalui pengu­atkuasaan undang-undang.

Sebagai contoh katanya, jika ibu bapa rakyat Malaysia (ada kad pengenalan biru, berkahwin sah, anak lahir di hospital tempatan dan ada pengesahan kelahiran), maka sijil lahir terus tercatat sebagai warganegara.

Katanya, jika pasangan suami isteri mengambil anak angkat pula, sijil lahir akan tercatat “Bukan Warganegara” dan me­reka perlu memohon kewar­ga­negaraan melalui proses pendaftaran.

“Ada beberapa faktor permohonan ditolak seperti pemalsuan sijil pengangkatan atau kelahiran di luar negara (anak) dan pemohon iaitu ibu bapa membuat permohonan warganegara untuk anaknya tetapi anak itu tak pernah jejak kaki di Malaysia.

“Rukun kepada permohonan adalah keberadaan di Malaysia. Jadi ada asas kita menerima atau menolak sesuatu permohonan kewarganegaraan itu de­ngan penjelasan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat