Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Fasa pertama pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) melibatkan 300,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Manakala, sejumlah RM22.9 juta nilai pembelian petrol RON95 (11.5 juta liter) telah direkodkan yang dibeli oleh penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam tempoh sehari pelaksanaan inisiatif BUDI95 pada 28 September 2025, melalui pengesahan MyKad di stesen minyak.
Beliau berkata demikian kepada media selepas turun padang meninjau pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI95 kepada penerima STR di BHPetrol, Batu 1, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darulaman, Teh Swee Leong; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan (MoF), Dato’ Zamzuri Abdul Aziz; dan Ketua Pegawai Operasi BHPetrol, Fardzi Shah Razali.
Hui Ying menjelaskan, BUDI95 diwujudkan bagi memastikan subsidi petrol RON95 disalurkan secara lebih bersasar, dengan manfaat terus kepada rakyat Malaysia.
“Melalui program ini, rakyat yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati kuota 300 liter sebulan pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga tanpa subsidi RM2.60 seliter, ”jelasnya lagi.
Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak membenarkan kenderaan dari Thailand, dan Singapura atau kenderaan asing lain yang didaftarkan di luar Malaysia, untuk membeli petrol RON95 di stesen minyak di Malaysia.
Menurutnya lagi, mereka hanya boleh membeli RON97 dan larangan itu bertujuan untuk memastikan subsidi petrol negara hanya dinikmati oleh warga Malaysia sahaja.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengemas kini pangkalan data susulan terdapat aduan mengenai status kelayakan BUDI95 dan bermula 30 September, sistem ini akan dibuka sepenuhnya kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, ”katanya.
“Pembelian boleh dibuat melalui kaunter stesen minyak yang memerlukan pengesahan warganegara melalui MyKad, akses digital turut tersedia melalui aplikasi seperti TNG, Setel (Petronas), CaltexGo dan lain-lain aplikasi syarikat minyak terpilih,”katanya lagi.
Ujarnya, orang ramai supaya tidak perlu tergesa-gesa mengisi minyak apabila program ini mula dilaksanakan secara rasmi pada 30 September, kerana harga RON95 bersubsidi akan kekal pada RM1.99 seliter.
Ujarnya lagi, orang ramai digesa memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu sah bagi melancarkan peralihan ke BUDI95. Semakan profil kelayakan boleh dibuat di portal rasmi www.budimadani.gov.my atau melalui talian bantuan 1300-88-9595.
Sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95.-SUARA.TV



