Menteri Azam Tumpu Usaha Ringankan Beban Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Barisan menteri yang baru mengangkat sumpah hari ini berazam menumpukan usaha bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan kini berada dalam situasi cukup mencabar kerana perlu memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan perkhidmatan terbaik daripada kerajaan.

“Saya merasakan kita (kerajaan) tidak mempunyai banyak masa melainkan terus bekerja bersungguh-sungguh terutama sekali bagi menjayakan segala falsafah baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam konteks ‘keluarga Malaysia’.

“Selain itu kita juga perlu meneruskan segala rancangan yang telahpun berjalan sebelum ini terutama sekali Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan program berkaitan dengan perang melawan COVID-19.

“Ia bagi memastikan supaya negara menjadi lebih selamat dan kehidupan kembali kepada situasi yang normal dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Setia Serta Sumpah Setia Barisan Menteri Dan Timbalan Menteri di Istana Negara di sini hari ini.

Annuar sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu Annuar berkata antara tindakan awal yang akan diambil sebaik menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) adalah mendapatkan taklimat awal sebelum mengatur langkah seterusnya.

“Kita akan susuli dengan kunjungan ke semua agensi di bawah KKMM sebelum kita buat perancangan terutama sekali untuk 100 hari yang pertama,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang kembali menerajui Kementerian Pengajian Tinggi berkata beliau akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada di kementerian berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya. Insya Allah dengan bantuan jawatankuasa yang ada di kementerian, kita akan tambah baik kelemahan sebelum ini,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata beliau akan melihat apakah bantuan segera yang boleh disalurkan kepada penduduk luar bandar dalam menghadapi pandemik itu.

“Insya-Allah saya akan beri tumpuan kepada perkara-perkara yang boleh membantu rakyat dalam waktu pandemik dan kesusahan rakyat pada waktu ini,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat