PUTRAJAYA, 30 Julai 2025 – Dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar, solidariti dalam kalangan usahawan Muslim menjadi semakin penting. Menyedari keperluan ini, Kelab Usahawan Haraki Malaysia (KU HARAKI) tampil menganjurkan Himpunan Seribu Usahawan SERU 25’ yang bakal berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos ini di Shaftsbury Putrajaya, sebagai platform penting memperkukuh kekuatan ekonomi ummah melalui kolaborasi berskala besar.
Berbeza dengan kebanyakan program keusahawanan lain, SERU 25’ dirangka bukan hanya sebagai medan pameran dan jualan, tetapi sebagai medan strategik mempertemukan pemain industri, pembuat dasar, institusi kewangan dan agensi pembangunan keusahawanan. Lebih daripada 1,000 usahawan dijangka berkumpul dari seluruh negara dalam pelbagai sektor utama – daripada F&B dan pertanian moden hingga teknologi digital dan produk halal.

Menurut Setiausaha KU HARAKI, Dato’ Hajah Suhaili Yosop, himpunan ini merupakan manifestasi kebangkitan ekonomi Muslim yang lebih bersifat kolektif dan menyeluruh.
“Kita tidak hanya mahu membina perniagaan secara individu, tetapi membina ekosistem ekonomi ummah yang saling bergandingan – melalui ilmu, jaringan dan sokongan strategik,” tegas beliau.
Salah satu keunikan SERU 25’ ialah pendekatan rentas sempadannya. Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai bersama dewan usahawan dari Brunei, Thailand dan Indonesia, membuka lembaran baharu kepada integrasi pasaran serantau di bawah panji keusahawanan Muslim.
Langkah ini memberi mesej jelas pembangunan ekonomi ummah tidak boleh bersifat tempatan semata-mata, tetapi harus bersifat serantau dan global. Ia membuka peluang kepada usahawan Malaysia untuk memperluas pasaran serta bertukar kepakaran dengan rakan-rakan serantau dalam suasana yang lebih harmoni dan saling memperkukuh.


SERU 25’ turut menyaksikan penyertaan pelbagai institusi penting seperti AIM, TEKUN Nasional, INSKEN, AMBANK, Bank Rakyat dan KOOP Bank, yang bakal menawarkan pelbagai bentuk pembiayaan dan bimbingan secara langsung. Usahawan berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat, menyertai sesi pitching, serta menjalin hubungan terus dengan pegawai agensi sesuatu yang jarang berlaku di luar acara seperti ini.
Di samping itu, penganjuran Forum Usahawan, SERU Talk, sesi perkongsian tokoh industri dan pitching usahawan muda dijangka memberi suntikan ilmu serta inspirasi kepada peserta.

Pelancaran Montaj 10 Tahun KU HARAKI dalam program ini menjadi simbolik kepada perjalanan satu dekad kelab dalam memperjuangkan agenda ekonomi Muslim. Ia menjadi saksi kepada komitmen berterusan untuk menjadikan keusahawanan sebagai alat pemberdayaan masyarakat Islam, terutamanya dalam kalangan golongan B40 dan usahawan kecil.
Orang ramai juga dijemput hadir menyokong produk tempatan, menyertai aktiviti interaktif, cabutan bertuah, bengkel keusahawanan dan pelancaran produk baharu. Dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, SERU 25’ membawa mesej bahawa pembangunan ekonomi bukan hanya tanggungjawab usahawan – tetapi satu usaha kolektif seluruh ummah.
INFO PENYERTAAN & MAKLUMAT LANJUT:
🌐 Laman Web: www.kuharaki.com
📌 Pendaftaran: Klik di sini
📱 Facebook: KU Haraki
📞 Pertanyaan: 019-7177700



