Nik Nazmi kesal pembangkang baca Qunut Nazilah seolah-olah kerajaan memusuhi Islam

KUALA LUMPUR – Perbezaan politik tidak wajar disalut dengan retorik kebencian agama.

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar tindakan Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail yang memimpin bacaan Qunut Nazilah untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan hari ini memusuhi Islam adalah sesuatu yang dikesali.

“Perbezaan politik tidak wajar disalut dengan retorik kebencian agama. Kita tidak lupa bahawa Pas pernah suatu ketika dulu mendoakan kehancuran lawan politik mereka, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berdiri bersama mereka.

“Sebelum ini ketika bersama bukan sahaja PKR malah DAP yang kini dilabel musuh umat Islam, pelbagai dalil diberi untuk menyokong keputusan politik mereka,” bidas bekas Naib Presiden PKR itu dalam muat naik di X pada Rabu.

Mengulas lanjut himpunan “Turun Anwar” 26 Julai baru-baru ini, Nik Nazmi berkata, kita harus berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap himpunan ini.

“Tindakan membesarkan isu seperti jumlah sampah yang dikutip mungkin kelihatan remeh, tetapi ia boleh dilihat sebagai memperlekeh keresahan rakyat malah memberi mesej perkauman secara tersirat.

“Ini bukan niatnya, tetapi politik adalah tentang persepsi.

“Isu ini akan memberi ruang simpati kepada penganjur, dan mengalihkan fokus keterbukaan kerajaan dan kelemahan hujah pembangkang,” ujar beliau selaku bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Tegas Nik Nazmi kerajaan perlu terus bekerja, kritikan rakyat walaupun disampaikan dalam bentuk demonstrasi, tidak harus disambut dengan reaksi defensif semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, ia harus menjadi pencetus untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu asas rakyat: kos sara hidup, keadilan sosial, dan masa hadapan ekonomi negara.

“Isu-isu dasar inilah yang kemudian akan diolah dan dibakar dengan sentimen kaum dan agama agar lebih tular bagi meraih undi, walaupun menyebabkan rakyat papa kedana.

“Masa depan negara ini tidak dibina dengan retorik, tetapi dengan kejujuran, kerja keras, dan kesediaan untuk mendengar.

“(Bagaimanapun) kita harus mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh pihak kerajaan dan pihak polis kepada penganjur dan peserta Himpunan Turun Anwar.

“Walaupun terdapat perbezaan pandangan politik dan saya juga tidak menyokong mesej himpunan itu, hak rakyat untuk berhimpun secara aman merupakan tiang penting dalam sistem demokrasi. Dalam hal ini, sikap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terbuka dengn demonstrasi tersebut harus dihargai,” kata Nik Nazmi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat