Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memperkenalkan BAS. MY Kota Setar dengan sistem pembayaran tambang tanpa tunai menggunakan kad debit /kredit atau pembayaran e-wallet melalui QR code.
Ia disusuli dengan inisiatif tambang percuma yang ditawarkan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pelajar sekolah berumur 7 sehingga 17 tahun dan siswa melalui Kad Konsesi BAS.MY.
Selain itu, pengguna BAS. MY Kota Setar bagi warganegara Malaysia turut ditawarkan kemudahan Kad 30 hari BAS. MY melalui langganan pas bernilai RM 50 untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari.
Sistem pembayaran tambang tanpa tunai turut diperkenalkan yang
selari dengan peredaran masa dan trend masa kini di mana orang ramai mahukan kemudahan yang cepat dan mudah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sebelum ini Kad Konsesi hanya terhad kepada pelajar Universiti, Politeknik, Kolej Komuniti dan Matrikulasi sahaja, kini kelayakannya diperluaskan kepada semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) Kota Setar atau BAS.MY Kota Setar di Dataran Medan Bandar Alor Setar, dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Seri Saifuddin Nasution Ismail; Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan Kedah, Hj. Dzowahir Ab. Ghani; Ketua Setiausaha MOT, Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Kedah (Pembangunan), Dato’ Hj. Mohd Fauzi; Ketua Pengarah APAD, Datuk Azlan Shah Al Bakri; Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Hj. Abdul Ghaffar Yahya; dan Pengarah Urusan Gopi Travel Tours Sdn Bhd selaku Pengendali Rangkaian BAS.MY Kota Setar, Datuk Gopinathan A/L Balasubramaniam.
Loke berkata pada bulan pertama perkhidmatan BAS.MY Kota Setar, sebanyak 30,488 penumpang telah menikmati perkhidmatan ini dan angka ini dijangka akan mencecah 50,000 bagi bulan Julai 2025.
Menurut beliau pas bulanan untuk perjalanan tanpa had di kesemua 13 laluan BAS.MY Kota Setar merangkumi lima kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) , Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) , Majlis Daerah Padang Terap (MDPT), Majlis Daerah Pendang (MDP), dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).
Dengan kemudahan Kad 30 Hari BAS.MY, pengguna hanya perlu membayar RM50 sebulan berbanding RM188 untuk 20 hari bekerja, iaitu penjimatan hampir 74 peratus (%), dan hanya terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja.
Menurutnya lagi, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh MOT untuk menyediakan pengangkutan awam yang bermutu pada harga yang berpatutan.
MOT melalui APAD, sentiasa berusaha merangka satu sistem bas berhenti-henti yang lebih efisien dan dinamik agar dapat meningkatkan mobiliti, produktiviti dan peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia yang terkesan dengan cabaran ekonomi dunia pada masa ini.
“Dua inisiatif utama melalui APAD iaitu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti atau Stage Bus Service Transformation (SBST) melalui jenama perkhidmatan ‘BAS.MY’ dan
Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti atau Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF).
“SBST bertitik bertolak daripada Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat atau National Land Public Transport Master Plan.
“Objektif utamanya ialah menambah baik perkhidmatan bas dari aspek kemampanan dan kebolehharapan (reliability) dengan tujuan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat.
“Manakala pelaksanaan ISBSF pula merupakan bantuan kewangan secara sementara kepada pengendali bas berhenti-henti yang layak bagi menanggung kerugian operasi di laluan yang tidak ekonomik.
“Ini bertujuan untuk memastikan kesalinghubungan pengangkutan awam ke kawasan-kawasan luar bandar boleh dikekalkan, ”katanya.
“Kalau dahulunya perkhidmatan bas di Alor Setar dan kawasan sekitarnya dibantu dengan dana ISBSF yang mengunakan bas-bas yang lama dan usang, kini di bawah SBST atau BAS.MY Kota Setar, kerajaan telah memperkenalkan 100% bas-bas baharu yang selesa untuk pengguna.
“Melalui inisiatif BAS.MY Kota Setar ini, sebanyak 48 buah bas baharu yang terdiri dari 6 buah bas midi dan 42 bas mini low floor digunakan,”katanya lagi.
Ujarnya, bagi memudahkan penumpang mengenali BAS.MY dan menarik minat pengguna pengangkutan awam, rekabentuk bas yang ceria berwarna merah jambu diperkenalkan, dapat memberi pengalaman yang menarik dan selesa.
“Kerajaan Persekutuan akan melaburkan sebanyak RM78.50 juta bagi tempoh 5 tahun atau RM15.70 juta setahun bagi memastikan perkhidmatan BAS.MY Kota Setar dapat mencapai kejayaan.
“Ini merupakan jumlah yang besar yang seharusnya dimanfaatkan bagi setiap sen yang dikeluarkan demi kesejahteraan rakyat.
“Perkhidmatan BAS.MY menggunakan bas-bas mini sesuai dengan jumlah permintaan sesuatu laluan dapat mengurangkan kos operasi dan lebih mudah untuk dikendali.
“Antara ciri-ciri bas yang diperkenalkan ialah bas-bas yang bersifat low floor bagi memudahkan penumpang naik dan turun bas selain mesra OKU dilengkapi dengan ciri ciri keselamatan seperti CCTV bagi memantau keselamatan penumpang di dalam dan di luar bas, serta paparan LED bagi memaparkan nombor dan destinasi bas,”ujarnya lagi.
Tambahnya, satu lagi perkhidmatan tambahan kepada rakyat yang diperkenalkan oleh MOT ialah meletakkan syarat kepada pengendali BAS.MY Kota Setar untuk menyediakan perkhidmatan pintu ke pintu secara tempahan bagi membawa penumpang mobiliti terhad seperti penumpang berkerusi roda, untuk tujuan rawatan perubatan seperti ke pusat dialisis dan klinik kesihatan atau ke mana-mana destinasi.
Perkhidmatan ini dikenali sebagai BAS.MY Medik dan akan diperkenalkan dengan kadar tambang yang berpatutan.
“Pihak pengendali BAS.MY digesa sentiasa memastikan tahap perkhidmatan dalam keadaan cekap, selamat efisien dan akan dipantau melalui GPS dari segi ketersediaan perkhidmatan dan ketepatan masa.
“Sekiranya pengendali gagal menepati KPI yang ditetapkan bagi dua aspek ini, penalti akan dikenakan dan pemantauan yang berterusan dapat memastikan perkhidmatannya cekap serta memberi keyakinan kepada rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam.
“Di samping itu itu, MOT telah merangka satu reka bentuk hentian bas yang dicipta bagi memastikan reka bentuk hentian bas yang seragam dan konsisten dari segi rupa dan maklumat yang dipaparkan bagi semua perkhimatan bas berhenti-henti BAS.MY di seluruh negara.
“Walaupun reka bentuk hentian bas telah disediakan oleh MOT, namun pembinaan dan penyediaan hentian bas masih di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan PBT.
“PBT bolehlah menggunakan reka bentuk yang disediakan sebagai templat untuk membina hentian-hentian bas ini dan lebih banyak hentian bas akan dibina demi kemudahan rakyat menggunakan perkhidmatan bas ini.
“MOT telah bekerjasama dengan pihak pengendali untuk mewujudkan peta rangkaian bagi semua laluan BAS.MY Kota Setar, seperti mana yang kita dapat lihat di Lembah Klang untuk perkhidmatan rel.
“Pemaparan peta rangkaian ini di terminal dan perhentian bas yang dikendalikan oleh PBT akan menambahbaik lagi pengalaman pengguna perkhidmatan BAS.MY Kota Setar, termasuk di kalangan pelancong, ”tambahnya lagi.
BAS.MY Kota Setar yang dikendalikan oleh Gopi Travel Tours Sdn Bhd mula beroperasi bermula pada 1 Jun lalu, telah diviralkan di media sosial oleh rakyat Kedah yang sangat teruja dengan keberadaan bas ini.
Turut dilancarkan, laman sesawang rasmi BAS.MY bas.my bagi membolehkan pengguna untuk menyemak laluan, jadual perjalanan, maklumat perkhidmatan BAS.MY dan lokasi utama selain maklumat produk BAS.MY seperti Kad 30 Hari dan Kad Konsesi.-SUARA.TV



