Tiada royalti petroleum untuk Terengganu – MOF

KUALA LUMPUR – Terengganu tidak menerima bayaran royalti kerana tiada petroleum yang didapati dan diperolehi (won and saved) di dalam negeri Terengganu.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan kepada Dewan Negara, tiada isu berbangkit berkait royalti kepada Terengganu memandangkan
petroleum Pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah didapati dan diperolehi di luar perairan negeri iaitu melebihi tiga (3) batu nautika yang diukur daripada garis air surut pantai wilayah selaras dengan Akta 750.

“Bayaran Tunai hasil petroleum akan dibayar terus kepada negeri sekiranya didapati dan diperoleh (won and saved) dalam perairan wilayah tiga (3) batu nautika yang diukur daripada garis air surut selaras dengan Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750].

“Sehingga hari ini, tiada petroleum yang didapati dan diperolehi (won and saved) di dalam negeri Terengganu. Apa-apa hasil daripada medan-medan petroleum Pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah didapati dan diperolehi di luar perairan negeri iaitu melebihi tiga (3) batu nautika yang diukur daripada garis air surut pantai wilayah selaras dengan Akta
750. Dalam hubungan ini, isu Bayaran Tunai Hasil Petroleum adalah tidak berbangkit,” kata Kementerian Kewangan.

Terdahulu ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris meminta Menteri Kewangan menyatakan kebertanggungjawaban dalam menyelesaikan pembayaran tertunda dan berjadual dianggarkan berjumlah lebih RM200 juta lagi bagi tahun 2023 dan 2024 bagi Kerajaan Negeri Terengganu akibat tunggakan royalti petroleum dan budaya politik diskriminasi yang diamalkan Kerajaan
Perpaduan Madani.

Namun begitu, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan Wang Ehsan untuk negeri Terengganu.

“Pada tahun 2023 sehingga kini, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM958 juta untuk negeri Terengganu bagi tujuan pelaksanaan projek dan program untuk manfaat rakyat negeri Terengganu.

“Kerajaan Persekutuan terbuka untuk berbincang dan bersedia mempertimbangkan cadangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu yang boleh dipersetujui bersama supaya melibatkan program serta projek yang boleh dibiaya melalui Pemberian Wang Ehsan untuk manfaat langsung rakyat negeri Terengganu, terutamanya dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan menambah baik infrastruktur asas,” kata kementerian itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat