Tony Spider ‘pejam mata’ dalam studio rakaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar Alberto menghembuskan nafas terakhir di studio Luncai Emas, Sungai Buloh, dekat sini, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Difahamkan, Tony yang memeluk agama Islam pada 2004 mempunyai bilik persendirian di studio milik penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir bagi melakukan kerja berkaitan muzik dan penghasilan lagu.

Mengesahkan berita pemergian Tony, Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar berkata, tiada sesiapa di studio kecuali arwah dan jurutera muzik, Hanafi berikutan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Arwah menghidap penyakit kencing manis, tetapi setakat ini, kami masih belum memastikan punca kematian kerana menunggu panggilan hospital.

“Semalam arwah memang berada di studio, sesekali datang singgah. Sewaktu kejadian, hanya jurutera muzik berada di studio.

“Bagaimanapun, arwah Tony berada di bilik dan mengunci pintu. Selalunya, arwah akan keluar masuk bilik, turun ke bawah untuk mencari makan.

“Namun, semalam arwah langsung tidak keluar menyebabkan Hanafi tidak sedap hati dan merasakan ada sesuatu tidak kena,” katanya kepada BH Online.

Keon berkata, mulanya Hanafi mahu memecahkan pintu bilik, tetapi menemukan kunci pendua.

“Selepas pintu bilik di buka, arwah Tony ditemui sudah tidak sedarkan diri sekitar jam 1 pagi,” kata Keon.

Allahyarham Tony pernah mendirikan rumah tangga, namun rumah tangganya tidak bertahan lama dan tidak dikurniakan cahaya mata.

 

Allahyarham Tony bersama anggota kumpulan Spider, Tam Mustafah, Nafie dan Aie. - Foto IG Tam Mustafah
Allahyarham Tony bersama anggota kumpulan Spider, Tam Mustafah, Nafie dan Aie. – Foto IG Tam Mustafah

 

Sementara itu, laman sosial dihujani ucapan takziah daripada rakan seperjuangan arwah yang rata-rata terkejut dengan pemergiannya.

Vokalis, Flop Poppy, Andy dalam hantaran yang dimuat naik dalam Instagram menyifatkan pemergian arwah Tony sebagai satu kehilangan. Malah, Andy sempat mengimbau kenangan lama.

“Banyak kenangan kita bersama, duduk di tangga berdua selepas sesi ‘sound check’ di Pulau Pinang. Aku, ROB dan kau dengan my Pet Alien. Kemudiannya, kita berkongsi pentas untuk pelbagai acara.

“Aku ingat lagi, bila aku kata nak jual Yamaha Nathan East, kau orang pertama yang cakap mahu. Sekarang, bass itu masih bersama dengan kau sehingga akhir hayat. Semoga husnul khatimah buat sahabat yang aku kasihi.

“Semoga Allah mengampuni dosamu dan meletakkan kau bersama mereka yang dikasihi. Kau akan menjadi sahabat yang selalu aku ingat dalam hati. Terlalu awal kau pergi, seorang sahabat yang baik hati.

“Patut aku rasa sebak dan hiba tak pasal-pasal masa live tadi, rupanya kau dah pergi Ton. Mohon doa daripada semua peminat buat sahabat yang aku kasihi ini,” tulis Andy.

Allahyarham Tony adalah anggota asal Spider yang turut dianggotai Tam Mustafah selaku vokalis, Nafie (pemain gitar) dan Aie (pemain gitar).

Namun, Tony meninggalkan kumpulan yang popular dengan lagu Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Laukku Cukup Masin, posisinya pula digantikan Iss.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat