Perayaan Gawai Dan Perpaduan

- Advertisement -

Oleh: Datuk Prof. Dr. Jayum Anak Jawan

Apakah kaitan perayaan dengan perpaduan? Dua perkara ini sering dikaitkan dalam konteks menunjukkan bahawa perpaduan dalam masyarakat berbilang etnik Malaysia adalah aman dan tinggi aras kesatuan atau unity ke arah membina Bangsa Malaysia, 1Malaysia, Keluarga Malaysia atau Malaysia Madani.

Konsep yang digunakan boleh berubah dari masa ke masa dan dari seorang pemimpin ke pemimpin yang lain, tetapi proses dan matlamatnya tetap sama. Apakah benar perayaan seperti gawai dan yang lain yang turut disambut etnik lain dalam negara adalah ukuran perpaduan dan integrasi dalam Malaysia?

Pemerhati kerap menyimpulkan bahawa perayaan keagamaan dan kebudayaan menunjukkan aras perpaduan. Mereka akan menarik perhatian kepada ramai etnik turut berpesta dalam aktiviti dan rumah terbuka yang dianjurkan.

Sebaliknya, pemerhatian seperti ini mungkin tidak tepat kerana hubungan dua angkubah ini, iaitu perayaan dan perpaduan berada dalam keadaan yang dikenali sebagai berada dalam hubungan palsu atau spurious relation, iaitu secara kebetulan.

Hubungan palsu atau “spurious relations” merujuk kepada dua angkubah yang berubah ke arah sama, namun kedua-duanya mempunyai hubungan palsu atau secara kebetulan sahaja dan tiada kaitan sebenarnya. Misalnya, orang kurang celik politik akan menunjukkan kurang penglibatan dalam proses politik.

Pernyataan ini boleh diterima secara umum dan nampak logik lagi. Sebenarnya hubungan di antara celik politik dan kurang penglibatan politik adalah hubungan palsu atau kebetulan (spurious) kerana ada angkubah lain yang mempengaruhi celik politik, iaitu pendidikan dan bukannya penglibat politik.

Boleh jadi ke orang yang menziarahi perayaan dan rumah terbuka itu ingin turut berpesta sambal menikmati pelbagai hidangan dan makanan percuma. Bagaimana pula mentaksirkan orang asing yang sanggup turut serta dan berbaris ke rumah terbuka yang diadakan di Malaysia? Apakah itu menunjukkan mereka bersatu padu dengan rakyat Malaysia atau mereka hanya ingin tahu dan mengalami pengalaman budaya rumah terbuka, sambil menikmati pelbagai makanan percuma yang dihidangkan tuan rumah.

Justeru, perayaan seperti gawai bukan ukuran dan angkubah yang tepat untuk digunakan mengukur aras perpaduan antara pelbagai etnik khasnya. Gawai seperti perayaan lain yang disambut pelbagai etnik di Malaysia penting untuk keluarga jauh dan dekat bertemu dan bagi merapatkan hubungan antara ahli komuniti rumah panjang.

Sejak politik bersaing (competitive politics) selepas Malaysia, gawai dan perayaan kebudayaan dan keagamaan sudah memperolehi sifat baharu. Ramai ahli-ahli politik menaja kunjungan mereka ke rumah panjang di bawah kawasan pilihan raya yang mereka wakili. Mereka menaja makan dan minum. Mereka akan datang menziarahi dan disambut sebagai tetamu istimewa dengan pelbagai acara. Apakah acara seperti ini dalam konteks perpaduan dan hubungan etnik?

Kebelakangan ini, ramai majlis yang ditaja ahli politik melanggar adat dan adap suatu perayaan dan etnik dengan memasukkan pertunjukan yang tiada kaitan dengan budaya etnik berkenaan dan dengan majlis yang dianjurkan. Tahun lalu, majlis gawai yang diadakan di sebuah hotel mewah di Sibu mengundang kontroversi kerana penari yang tidak berpakaian sopan. Tarian mereka juga tiada kaitan langsung dengan adat dan majlis yang dianjurkan.

Kontroversi seperti ini menunjukkan bahawa masih banyak perlu diperbaiki dalam proses pendidikan dan sistem pendidikan negara bagi memahamkan rakyat Malaysia tentang kepelbagaian berkaitan etnik, budaya, bahasa, agama dan cara hidup.

Kontroversi yang terbaru melibatkan pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Niat baik pegawai kanan ini tetap dihargai masyarakat Dayak, namun ramai netizen Dayak meluahkan rasa kecewa kerana pegawai kanan kerajaan boleh tidak faham dan menggunakan lambang daun gandum dalam poster ucapan Selamat Gawai dan Pesta Keamatan.

Gawai dan Pesta Keamatan adalah berkaitan penuaian padi dan bukan penuaian gandum. Hal ini kecik tetapi bila ia dilakukan oleh pegawai kanan, maka ia mengundang seribu persoalan. Apa yang jelas, jika ada Dayak dalam Jabatan Perdana Menteri, hal ini tidak mungkin berlaku kerana pegawai kanan ini dapat merujuk kepada orang Dayak untuk mendapat atau menyemak fakta.

Adalah harapan masyarakat Dayak bahawa kecuaian yang dilakukan oleh pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri ini tidak mungkin berlaku kalau JPM mempunyai pegawai pelbagai etnik bagi membantu pejabat utama dalam mengurus pentadbiran dan pembinaan negara bangsa selaras dengan enam prinsip Malaysia Madani yang menjadi garis panduan dan kerangka pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

DATUK PROF. DR. JAYUM ANAK JAWAN FASc
Profesor Sains Politik UPM &
Felo, Akademi Sains Malaysia.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Malaysia (baru dilantik Mei 2023, untuk tempoh Jun 2023-Mei 2025)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat