KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di ibu kota kerana ia dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat.
Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan menyatakan kekesalan jabatan itu terhadap perancangan acara hiburan berkenaan dan mendesak penganjur supaya mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
“JAWI menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program itu dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, bantahan turut disokong oleh pendirian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan Bayan Linnas Siri Ke-351.
“Penerbitan yang bertajuk ‘Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan’ itu dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.
“JAWI akan mempergiatkan lagi penganjuran program-program keagamaan di seluruh Wilayah Persekutuan,” tegas beliau.
Katanya, pelaksanaan program seperti kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di media sosial, dan khutbah Jumaat akan diteruskan bagi memberi kesedaran berkaitan kepentingan umat Islam mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri daripada terbabit dalam program berunsur maksiat.
“Pada masa yang sama, satu majlis kerohanian besar-besaran akan turut diadakan pada hari ini,” katanya.
Justeru, JAWI akan menganjurkan bacaan Yasin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada hari ini 30 April 2026 selepas solat Maghrib.
Majlis berkenaan diadakan khusus bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Katanya, JAWI turut memohon kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan sebarang program berbentuk hiburan tidak menyelitkan unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama serta moral masyarakat demi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar pada masa hadapan.



