KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mencabar Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) untuk memecat semua Menteri dan Timbalan Menteri Umno dalam Kerajaan Perpaduan.
Akmal menyatakan bahawa Umno tiada masalah jika pemecatan itu berlaku.
Namun beliau mempersoalkan keberanian kerajaan untuk berbuat demikian.
“Pemuda Umno cabar untuk pecat bukan sahaja Tok Mat (Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan) ,tapi seluruh Menteri dan Timbalan Menteri Umno.
“Kita ok jer, nak tengok pemimpin kamu berani atau tidak,” cabar Adun Merlimau itu.
Sebelum itu, Ahli Majlis Eksekutif DAPSY M Kusaaliny menggesa pemecatan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan daripada jawatan Menteri Luar, atas dakwaan penglibatan menggugat kestabilan kerajaan.
Kusaaliny berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya dakwaan tersebut benar bagi memastikan prinsip kolektif dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan terus dipelihara.
Menurut beliau, tindakan menyokong gerakan menjatuhkan Kerajaan Negeri Sembilan beberapa hari lalu merupakan pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
“Kami memandang serius laporan mengenai penglibatan pemimpin kanan Umno dalam gerakan yang cuba menggugat kestabilan Kerajaan Persekutuan atau lebih dikenali sebagai ‘Langkah Tebuk Atap’.
“Tindakan beliau yang didakwa menyokong usaha menjatuhkan kerajaan beberapa hari lalu adalah satu pengkhianatan. Tiada ruang untuk musuh dalam selimut dalam pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kusaaliny berkata, krisis politik yang berlaku di Negeri Sembilan juga berpunca daripada percaturan politik dalaman Umno.



