Amanah kutuk, arah 14 Adun Umno tarik balik kenyataan tak sokong MB Negeri Sembilan – Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengesyorkan kenyataan tarik sokongan terhadap Menteri Besar oleh 14 Adun Umno Negeri Sembilan dikutuk dan diarah untuk ditarik balik.

Selain itu kata Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil, mereka yang terlibat wajar diberi amaran keras oleh Umno supaya tindakan sebegini tidak diulangi pada masa-masa akan datang oleh mana-mana pihak.

“Cadangan untuk mengadakan perbincangan setelah menikam rakan gabungan di belakang adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal.

“Ironinya, 14 Adun Umno memulakan hubungan dengan 5 Adun Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.

“Maka ianya tidak boleh ditafsirkan selain dari tindakan khianat dan berniat jahat walaupun telah ada “Perjanjian Persefahaman”.

“Bagaimanapun, Amanah mengucapkan terima kasih atas kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Umno pada 29 April berhubung kemelut politik yang terhasil di Negeri Sembilan. Amanah mengambil maklum cadangan supaya satu perbincangan di antara Biro Politik Umno dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) diadakan untuk merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.

“Dengan hormat, Amanah berpandangan bahawa perbincangan yang dicadangkan sepatutnya diadakan sebelum tindakan berunsur khianat dan tebuk atap dilakukan oleh 14 Adun Umno Negeri Sembilan,” bidas Faiz.

Menurut beliau lagi, perlu diingatkan bahawa perbezaan pendapat boleh wujud dan sekiranya ingin dizahirkan sekalipun, masih boleh diterima. Akan tetapi tindakan tarik sokongan demi menjatuhkan kerajaan bersama adalah satu pengkhianatan yang tidak boleh dipandang remeh.

“Terma hilang sokongan kepada Menteri Besar adalah sama nilainya dengan hilang sokongan kepada PH dan Kerajaan Perpaduan.

“Amanah menegaskan bahawa sekiranya semua tindakan di atas dilakukan, barulah cadangan pertemuan boleh diambil serius dan dipertimbangkan.

“Perlu ditegaskan bahawa adanya khilaf berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan cara menangani kemelut yang terhasil tidak bererti Amanah dan PH tidak mempertahankan Institusi Raja dan Adat di Negeri Sembilan.

“Sebaliknya, demi menjaga imej Institusi Raja dan Adat, Amanah lebih cenderung kepada kaedah penyelesaian secara terhormat melalui proses perundingan dan perbincangan berbanding proses jatuh-menjatuh dan cantas-mencantas yang ingin diamalkan,” tegur beliau.

Seharusnya Umno mematuhi titah Yang di- Pertuan Besar bahawa Datuk Seri Aminuddin Harun meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

“Amanah mengajak Umno untuk terus bergerak ke hadapan dan mengukuhkan Gabungan Perpaduan serta bersama Pakatan Harapan menguruskan negara dengan baik supaya ekonomi Malaysia kekal stabil dalam keadaan ekonomi global yang sedang meruncing.

“Amanah mengesyorkan semua pihak menumpu kepada penyelesaian masalah rakyat dan jauhkan diri daripada politik murahan yang bersifat opportunis dan pentingkan diri dan kelompok,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat