KUALA LUMPUR – Delegasi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia telah mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Lumut Naval Shipyard(LUNAS), Perak pada Jumaat, 30 Januari 2026.
Menurut Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin, lawatan kerja ini merupakan lawatan berkala PAC bertujuan untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung dengan projek pembangunan kapal peronda generasi kedua Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Ia merupakan lawatan ketiga PAC bagi memantau projek tersebut sebagai susulan kepada prosiding-prosiding PAC terdahulu mengenai projek LCS.
“Semasa sesi lawatan tersebut, PAC telah diberi taklimat berkenaan kemajuan pembinaan kapal-kapal LCS, garis masa projek serta cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan projek ini. PAC turut dibawa melihat sendiri kapal LCS1 di Limbungan LUNAS yang sedang dalam proses pembinaan.
“PAC turut dibawa meninjau LCS2 dan LCS3 yang sedang dalam pembinaan dari bahagian luar,” katanya.
Mas Ermieyati memaklumkan, satu mesyuarat prosiding PAC akan diadakan pada Rabu, 4 Februari 2026 di Parlimen Malaysia sebagai susulan bagi membincangkan hasil lawatan tersebut serta perkembangan terkini projek.
“Hasil daripada lawatan ini, PAC mendapati terdapat perkembangan dalam pelaksanaan projek secara keseluruhan.
“PAC akan terus memantau perkembangan projek LCS dari semasa ke semasa bagi memastikan pembinaan LCS disiapkan mengikut garis masa serta kos yang telah dipersetujui,” tegasnya.
Delegasi PAC juga disertai oleh anggota Ex-Officio terdiri daripada wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Audit Negara Malaysia, dan Jabatan Akauntan Negara.
Selain itu, lawatan turut disertai Ahli Parlimen Lumut, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negeri Perak (PAC Perak), Adun Astaka yang juga sebagai Ahli PAC Perak dan Adun Pangkor sebagai komitmen PAC melibatkan PAC Negeri dan Adun kawasan sebagai rakan kerjasama dalam pemantauan projek.
Selain itu, turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan delegasi MINDEF serta TLDM.



