KUALA LUMPUR, — Sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 yang akan berlangsung pada 8 Februari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh peranan ibu bapa dalam memantau penggunaan internet anak-anak, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah siber yang semakin membimbangkan.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahya berkata, sambutan kali ini akan dianjurkan dalam skala besar di Tasik Titiwangsa dengan pelbagai program pendidikan keselamatan digital bagi membantu orang ramai memahami langkah melindungi diri serta keluarga ketika berada dalam talian.
Menurut beliau, pendekatan sambutan tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana MCMC akan membawa pasukan teknikal dan pakar untuk memberi bantuan secara langsung kepada pengunjung.
“Kita akan sediakan pasukan teknikal yang membantu pengunjung menetapkan ciri keselamatan pada peranti masing-masing seperti telefon pintar, termasuk fungsi kawalan ibu bapa dan aplikasi berkaitan,” katanya.
Bukhari berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara – Hari Keselamatan Internet 2026: Internet Selamat, Tanggungjawab Bersama terbitan Bernama TV.
Beliau turut menjelaskan bahawa antara cabaran utama ketika ini ialah ramai ibu bapa tidak mengetahui cara menggunakan fungsi kawalan ibu bapa yang sebenarnya tersedia pada kebanyakan platform media sosial dan aplikasi digital.
“Kita juga ada penyedia platform seperti TikTok, Google dan Facebook. Kadang-kadang ibu bapa nampak aplikasi atau tetapan kawalan itu, tetapi tidak tahu bagaimana hendak mengaktifkannya. Jadi pendidikan secara terus akan disediakan pada hari tersebut,” katanya.
Selain itu, Bukhari berkata pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut membuka reruai bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa jenayah siber, termasuk modus operandi penipuan terkini dan langkah yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa.
Melalui program berkenaan, orang ramai juga berpeluang mempelajari cara mengenal pasti tawaran mencurigakan, menyemak kesahihan maklumat serta mendapatkan saluran yang betul untuk membuat laporan jika berlaku penipuan.
Dalam pada itu, sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 juga bakal menyaksikan pelancaran rasmi Kempen Internet Selamat 2026 yang diperluas kepada komuniti serta golongan belia.
Bukhari berkata, kempen tahun ini membawa pendekatan lebih menyeluruh berbanding tahun sebelumnya yang lebih tertumpu kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Tahun lepas fokus lebih kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, tetapi tahun ini kita akan luaskan lagi kempen merangkumi komuniti dan belia,” katanya. – Bernama/SuaraTV


