KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli bercadang untuk menutup sahaja kes siasatan polis terkait serangan terhadap anak lelakinya.
Hal ini memandangkan sudah lebih 6 bulan siasatan berjalan namun didakwanya tidak ke mana.
“Sebab saya pun faham dalam sistem kita, kalau tidak ada kuasa, proses nak cari dalang kes macam ini memang jadi lama. Silap-silap hari senyap begitu saja bila dirasakan orang sudah lupa.
“Nanti saya tunggu lagi, kalau dirasakan siasatan tak ke mana, saya sendiri akan tulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan PDRM mengusulkan supaya siasatan dihentikan dan NFA saja kes ini.
“Jangan buang masa anggota polis kat bawah yang hanya menurut perintah.
“Lagi pun, Perdana Menteri juga yang beriya-iya keluar kenyataan cepat-cepat suruh siasatan dibuat secara telus. Kalau dah lebih 6 bulan tapi tak ke mana, malu lah PMX. Baik saya yang volunteer suruh tutup saja siasatan untuk jaga air muka PMX.
“Apa yang dah jadi tu dah jadi. Saya redha dan Insya-Allah, kami sekeluarga lebih yakin dengan doa daripada bergantung kepada budi bicara manusia, agar perkara sebegini tidak akan berulang lagi kepada sesiapa pun di negara ini,” ujar Rafizi dalam hantaran Facebook pada Jumaat.
Menurut beliau “yang nak kena pertahan reputasi di mata rakyat ni bukan anak saya yang kena serang. Yang nak kena jawab dengan rakyat nanti adalah orang-orang besar belaka, mereka tahulah apa jawapan nak diberi satu hari nanti”.
Menyingkap kronologi Rafizi berkata, bulan Ogos 2025, ada serangan ke atas anaknya dan ugutan kepada isteri beliau. Mesejnya simple: kalau saya terus bersuara, mereka nak cucuk AIDS.
“Saya tidak pernah menulis surat, atau tanya perkembangan siasatan secara terbuka. Saya serah kepada Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengawal selia PDRM, badan yang menyiasat.
“Lagi pun Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, adalah kawan lama yang saya dah kenal sejak 1998 lagi. Untuk tempoh masa yang lama, saya panggil dia “abang”. Saya kenal rapat keluarga beliau dan beliau kenal isteri dan anak saya.Jadi saya serah amanah itu kepada beliau.
“Memang saya tidak pernah dapat apa-apa maklumbalas, secara rasmi atau tidak rasmi. Kalau ada kemaskini siasatan pun, itu dari media saja. Saya membaca laporan sama macam rakyat yang lain.
“Akhir November 2025, Saifuddin minta untuk adakan pertemuan. Kami pun jumpa di Parlimen pada 1 Disember 2025. Lebih sejam kami berjumpa, bincang macam-macam. Saya lagi banyak dengar daripada bercakap, seperti biasa bila saya jumpa pimpinan PKR.
“Saya ingat sebab dia tak sampai hati dah berbulan-bulan tak de maklumat atau hasil siasatan mengenai kejadian serangan, dia ada berkongsi beberapa perkembangan dan sudut-sudut siasatan.
Saya pun masukkan soalan di parlimen untuk beliau sahkan secara rasmi di Dewan Rakyat maklumat-maklumat yang dia kongsi dengan saya pada 1 Disember 2025 itu.
“Minggu ini, beliau jawab dan seperti yang saya dah agak, beliau kena bagi jawapan pentadbiran lah, iaitu tak boleh dedah takut ganggu siasatan. Saya pun tak ambik hati. Sebab anak kita yang kena, takkan orang lain faham perasaan kita,” kata bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Malah Rafizi berterima kasih kerana jawapan Menteri Dalam Negeri itu mengesahkan dua perkara iaitu perjumpaan dengan saya pada 1 Disember itu benar-benar berlaku.
“Ya lah takkan dia nak menafikan CCTV kat Parlimen semua ada.
“Kedua, bahawa memang beliau berkongsi maklumat mengenai perkembangan dan sudut siasatan kes itu dalam pertemuan dengan saya pada 1 Disember 2025. Cuma dia tak boleh kongsi secara terbuka saja.
“Itu saja yang saya nak sebenarnya. Saya pun realistik takkan lah beliau akan kongsi apa yang beliau beritahu kepada saya.
“Sebab saya pun faham dalam sistem kita, kalau tidak ada kuasa, proses nak cari dalang kes macam ini memang jadi lama. Silap-silap hari senyap begitu saja bila dirasakan orang sudah lupa,” katanya.



