Shamsul Iskandar akui kini hidupnya sunyi, tanpa jadual, fail dan tanpa perkara yang menunggu untuk diuruskan

KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun kelahirannya ke-51, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akui selepas terpalit dakwaan rasuah dan tidak lagi berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri (PMO) hidupnya diselubungi kesunyian.

Namun begitu, Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya itu menganggap apa yang dihadapinya ketika ini adalah satu bentuk ujian yang akan ditempuhinya dengan sabar.

“51 tahun mencecah lawang bukan angka kecil mendidik matang, ia peta panjang tentang perjuangan…memaknai amanah dan kesabaran.

“Hari ini saya berdiri dengan ujian yang bukan kepalang ,langit pernah terasa sejengkal palang dan doa menjadi nafas paling panjang.

“3 tahun saya bergelumang dengan tugas dan tanggungjawab membantu seorang pemimpin mendukung harapan sebuah bangsa. Kini pagi itu datang tanpa jadual, tanpa fail, tanpa perkara yang menunggu untuk diuruskan. Sunyi dan sunyi itu juga satu ujian.

“Namun seorang teman berbisik lembut: “Berseronoklah dengan ujian, kerana di situlah Allah sedang membentukmu.” Seorang guru menegaskan dengan yakin:
“Bersangka baiklah dengan Allah, kerana Dia tidak pernah silap memilih masa.” Lalu saya kembali mengingat janji-Nya: “Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan” -(Surah al-Insyirah: 5–6).

“Janji yang tidak pernah mungkirhanya menunggu kita cukup sabar untuk melihatnya berlaku,” nukil beliau di Facebooknya pada Isnin.

Menurut Shamsul Iskandar beliau memanjatkan doa, “Ya Allah jika ujian ini berat beratkanlah ia dengan makna, bukan dengan putus asa.

“Jika jalan ini gelap jadikanlah saya hamba yang yakin bahawa apabila malam semakin pekat itu tandanya fajar semakin dekat.

“Pada usia 51 tahun ini saya tidak meminta hidup yang mudah, saya hanya berdoa agar setiap langkah berakhir dengan kejayaan yang Kamu rahmati dan redhai,” ujarnya.

Untuk rekod Shamsul Iskandar berdepan pertuduhan menerima suapan daripada ahli perniagaan Albert Tei dan beliau berikrar untuk membersihkan namanya.

Shamsul Iskandar berdepan empat pertuduhan menerima suapan RM176,830 daripada Albert Tei yang turut didakwa memberi rasuah -didakwa bagi membantu syarikat-syarikatnya mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Pertuduhan itu termasuk dua dakwaan menerima wang tunai berjumlah RM140,000, manakala bakinya berupa perabot dan peralatan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat