Kesengsaraan Mangsa Banjir Diringankan Kerajaan Setiap Aspek -Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menambah baik bantuan banjir dengan akses bantuan tunai dan menyediakan pelbagai pendekatan yang diperlukan mangsa banjir bagi memulihkan semula kehidupan pasca bencana.

Beliau mengumumkan, bagi menambah akses tunai kepada mangsa yang memerlukan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta telah
menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar 0 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

Selain itu katanya, Bank Negara Malaysia juga dengan ketersediaan dana RM500 juta telah menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana atau DRF melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha PKS dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro.

“Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun.

“Permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF telah mula dibuka pada 27 Disember 2021 lalu. Untuk makluman, dalam dua hari pertama sahaja iaitu setakat 28 Disember 2021, BSN telah menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan sudahpun meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta,” katanya.

Bukan itu sahaja, Perdana Menteru juga memberitahu bagi memastikan bantuan yang menyeluruh, di samping bantuan tunai, kerajaan juga akan menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir.

“Seperti diketahui, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan atau GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC telah menubuhkan GLIC/GLC Disaster Response Network atau GDRN bertujuan menggerakkan usaha menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Setakat ini, GDRN telah membantu kira-kira 15,000 buah keluarga sejak 19 Disember 2021,” kata beliau.

Selanjutnya Ismail Sabri memberitahu, seperti yang telah saya umumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan rebat 100 peratus bil elektrik kepada pengguna
domestik yang terkesan akibat banjir bagi bulan Disember 2021.

“Menyedari musibah banjir turut menyebabkan kerosakan banyak peralatan elektrik di rumah, sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk
menyediakan pemberian baucar kepada mangsa-mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik yang telah rosak.

“Setiap ketua isi rumah yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” ujar Perdana Menteri.

Kata beliau, bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan peribadi mereka, beberapa inisiatif turut dilaksanakan.

” Perodua akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma. Perodua turut bersetuju memberikan kos upah
baik pulih dan servis berkaitan secara percuma dan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas alat ganti.

” Proton juga bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50 peratus bagi kebanyakan model kereta serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta
secara percuma di pusat-pusat servis mereka yang berdaftar.

” Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua telah bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25 peratus atau lebih, ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar. Beberapa syarikat turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun,” umum beliau.

Perdana Menteri juga menambah, baucar sebanyak RM1,000 untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang telah mengalami kerosakan total.

“Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang holistik melalui pelbagai inisiatif dan langkah bagi memastikan kebajikan Keluarga Malaysia sentiasa
terjamin.

“Semoga kesemua inisiatif di atas dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir. Sama-sama kita berusaha
dan berdoa agar impak bencana banjir ini dapat ditangani dengan segera agar kita boleh menumpukan usaha kepada pemulihan dan pertumbuhan
ekonomi pada tahun hadapan,” ucapnya.